HomeUtamaJKR Malaysia & JKR Sabah Jalin Kerjasama Integrasi Data Sistem Pemantauan Projek

JKR Malaysia & JKR Sabah Jalin Kerjasama Integrasi Data Sistem Pemantauan Projek

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU : Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah melaksanakan kerjasama dua hala menerusi pemeteraian nota kerjasama bagi Pelaksanaan Program Integrasi Data Sistem SKALA-PALMS.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sistem itu akan dapat memberi manfaat kepada pegawai JKR Malaysia dan JKR Sabah dalam mengurus projek-projek yang sedang dilaksanakan.

Katanya, melalui pemantauan projek yang dilaksanakan, ianya berupaya dapat memberi maklumat yang tepat dan terkini bagi meningkatkan kecekapan komunikasi dan pelaporan secara atas talian.

“Ini membolehkan data-data projek pembangunan Persekutuan dan Negeri dapat diakses secara bersama.

“Perkongsian data ini juga akan mempercepatkan proses pelaporan kemajuan fizikal projek bagi membolehkan pemegang taruh (stakeholder) memperolehi maklumat dengan segera, tepat serta menjimatkan kos.

“Ia sekaligus dapat meningkatkan kecekapan sistem antara Persekutuan dan Negeri,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara JKR Malaysia dan JKR Sabah di Ibu Pejabat JKR Sabah disini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Arthur berkata, kerjasama dan koordinasi antara agensi Persekutuan dengan Negeri perlu dipertingkatkan dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan projek serta program Kerajaan ke arah transformasi digital.

Katanya, kerajaan dipacu teknologi akan menyediakan perkhidmatan awam yang lebih cekap, berkesan dan moden.

“Perancangan negara akan lebih berpandukan data bagi memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan akan memastikan pembangunan di negeri Sabah khususnya jajaran jalan raya yang menghubungkan antara bandar dan projek infrastruktur lain akan diberi perhatian sepenuhnya.

“Ini penting untuk kita merapatkan jurang pembangunan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur berkata, projek-projek yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan perlu dilaksanakan segera.

Katanya, ianya amat penting bagi memberi kemudahan pembangunan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

Tambahnya, kelewatan dalam melaksanakan mana-mana projek yang telah diluluskan hanya merugikan rakyat dan Kerajaan selain akan meningkatkan lagi kos projek.

“Sektor pembinaan merupakan sektor penting untuk pembangunan ekonomi negara. Sektor ini harus digerakkan ke tahap optimum dalam keadaan norma baharu.

“Industri pembinaan merupakan agen pengganda ekonomi yang boleh memberi manfaat ekonomi bukan sahaja kepada eko-sistem industri pembinaan itu sendiri bahkan kepada 196 industri lain contohnya seperti besi dan keluli, simen, lime dan plaster, pertukangan kayu, perdagangan motor dan kenderaan serta lain-lain lagi,” katanya.

Justeru itu, katanya, perbelanjaan ke arah projek infrastruktur utama akan menjadi pelaburan jangka panjang yang baik untuk memupuk pembangunan fizikal dan limpahan ekonomi dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam usaha bagi memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19.

RELATED ARTICLES
Utama

Elak motosikal keluar simpang, pemandu Toyota Hilux hilang kawalan langgar 5...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular