DUN Sabah: Kerajaan Negeri Rangka Pelan Pemulihan ‘Sabah Tourism Recovery Roadmap’

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri mengambil inisiatif merangka Pelan Pemulihan ‘Sabah Tourism Recovery Roadmap’ sebagai panduan dan persediaan dalam usaha memulihkan industri pelancongan.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, antara pendekatan yang diambil adalah dengan  memperhebatkan usaha untuk merangsang pembangunan sektor pelancongan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif.

“Ia termasuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Di samping itu, pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah budaya dan khazanah alam di negeri ini akan terus diberikan tumpuan dalam usaha untuk membangunkan kembali industri pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 disini hari ini.

Juhar berkata, ia turut dapat memberi kesedaran kepada orang awam tentang perimustahaknya pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah budaya dan khazanah alam agar dapat dinikmati dan dimanfaat oleh setiap golongan masyarakat, termasuk generasi yang akan datang.

“Salah satu khazanah budaya yang kini dalam pemerhatian dan bakal melalui proses pemuliharaan ialah Wisma Radio Sabah iaitu bangunan yang terletak di kilometer 2.4 Jalan Tuaran, yang dahulunya merupakan sebahagian daripada kompleks RTM Sabah.

“Bangunan lama Wisma Radio Sabah tersebut mula dijadikan pusat penyiaran radio pada awal 1960-an dan pernah menempatkan Persidangan Suruhanjaya Cobbold pada Februari 1962, berhubung penyertaan Sabah dalam pembentukan Persekutuan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kawasan itu kini sedang dalam proses tuntutan semula oleh Kerajaan Negeri sesuai dengan nilai sejarahnya dan pengiktirafan sebagai Khazanah Budaya Negeri oleh Kerajaan Negeri Sabah bermula pada September 2017.

“Syabas diucapkan kepada Radio Sabah Alumni Association (RASA) yang telah memperjuangkan pengekalan dan pemuliharaan bangunan berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Juhar berkata, sektor pelancongan merupakan antara sektor penyumbang utama kepada ekonomi Sabah yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19.

Katanya, jumlah ketibaan pelancong ke negeri Sabah pada tahun lalu hanya 977,460 orang berbanding 4.2 juta orang pada tahun 2019 iaitu melibatkan penurunan sebanyak 76.7 peratus.

“Manakala, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini telah menurun sebanyak 85.2 peratus kepada 108,862 orang berbanding 736,921 orang dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.

“Anggaran jumlah terimaan pelancongan (tourism receipt) di Sabah dalam enam bulan pertama tahun 2021 menyusut dengan ketara sebanyak 88 peratus iaitu bersamaan dengan RM1.28 bilion kepada RM174 juta sahaja berbanding RM1.45 bilion dalam tempoh yang sama tahun 2020,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *