HomeUtamaPeranan LPP Penting Pastikan Pergerakan PP Berjalan Lancar & Diperkasa

Peranan LPP Penting Pastikan Pergerakan PP Berjalan Lancar & Diperkasa

Read Time:3 Minute, 27 Second

KUALA LUMPUR : Peranan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai Pendaftar penting bagi memastikan pergerakan Pertubuhan Peladang (PP) di semua peringkat berjalan baik dan diperkasa agar telus, berintegriti dan profesional.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penyemakan semula keseluruhan perundangan LPP dan PP juga perlu disegerakan bagi membolehkan pindaan-pindaan sesuai mengikut kehendak semasa dapat dilaksanakan.

“Tadbir urus baik akan dijadikan asas dan panduan utama agar kepentingan peladang dan pesawah sentiasa dijaga.

“Saya sememangnya sentiasa mengikut prestasi PP dari semasa ke semasa dan berharap, model perniagaan projek-projek berjaya di PP mestilah diteruskan malah perlu direplikasikan di lain-lain PP yang berpotensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang baharu Dato’ Zambri Yaakob di pejabatnya disini semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Dato’ Azulita Salim dan Pengurus Besar NAFAS Abu Sujak Sahuji.

Dr. Ronald juga menyeru semua pihak berkepentingan termasuk pengurusan tertinggi LPP mahupun NAFAS untuk terus berganding bahu bersama-sama dengan keluarga peladang untuk membangunkan semua PP supaya terus berjaya dan maju agar peladang akan terus mendapat manfaat.

Dalam sesi pertemuan tersebut, Dr. Ronald telah merakamkan ucapan tahniah kepada Zambri atas pelantikan sebagai Pengerusi NAFAS berkuatkuasa pada 13 September  baru-baru ini.

“Saya yakin dan percaya, berbekalkan pengalaman beliau yang amat luas khususnya dalam hal ehwal pertubuhan peladang, beliau akan dapat memberikan sumbangan yang terbaik untuk meningkatkan lagi prestasi NAFAS ke arah yang lebih cemerlang,” katanya.

Zambri telah menjadi ahli peladang yang aktif di Pertubuhan Peladang Kawasan Pulau Tawar seawal tahun 1985.

Sepanjang tempoh sebagai Ahli, beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Pulau Tawar sejak tahun 1996 sehingga kini.

Beliau turut memegang jawatan Pengerusi AJP Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) mulai 21 Mei 2020 di mana sehingga kini PASFA telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam aktiviti ekonomi dan sosial yang memanfaatkan ahli peladang di Negeri Pahang.

Pelantikan Zambri sebagai Pengerusi NAFAS telah dibuat selaras dengan Peraturan 35(6) Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2021 yang mana beliau telah dipilih melalui undian majoriti dalam kalangan Ahli-Ahli Jemaah Pengarah.

Mesyuarat secara maya yang dipengerusikan oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang pada 13 September 2021, yang dihadiri oleh 11 orang Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, telah secara sebulat suara bersetuju memilih Zambri sebagai Pengerusi AJP NAFAS yang baharu melalui pengudian sulit yang dijalankan secara atas talian.

Pelantikan ini turut membuktikan kuasa memilih Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah telah dikembalikan semula kepada kepimpinan peladang sendiri dan pemilihan telah dibuat secara demokrasi.

Ini adalah berikutan pindaan peraturan yang dilaksanakan Kerajaan bagi memastikan hak memilih dikembalikan kepada ahli peladang sendiri sepertimana Peraturan yang terdahulu sebelum dipinda pada tahun 2019.

Melalui pindaan ini juga, semua Ahli Jemaah Pengarah di semua peringkat hanya layak memegang jawatan untuk 3 penggal sahaja dan kemudian perlu rehat selama 1 penggal sebelum layak dipilih semula. Ini adalah antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan bagi memastikan tadbir urus baik di semua peringkat.

Pemilihan Ahli Jemaah Pengarah di semua peringkat Pertubuhan Peladang yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat akan menggunapakai Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2020 yang telah mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2021.

Pemilihan kepimpinan di semua peringkat pergerakan peladang melalui Mesyuarat Agung kini sedang berjalan dengan baik berasaskan pindaan baru ini.

Dalam kesempatan yang sama, Dr. Ronald turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Pengerusi NAFAS, Dr. Anis Mahmud di atas sumbangan dan komitmen sepanjang tempoh beliau berkhidmat di NAFAS.

Dalam kunjung hormat ini, beberapa perkara lain turut dibincang antaranya peranan NAFAS yang perlu terus diperkasakan menjadi sebuah institusi yang menerajui pengerakan PP sebagai badan perniagaan yang berdaya maju sekaligus membina pergerakan PP yang kompeten dan berdaya saing di setiap peringkat.

Dalam hal ini, tranformasi struktur perniagaan yang efektif, teratur dan terancang dengan mempelbagaikan perniagaan NAFAS adalah penting bagi mewujudkan model perniagaan yang lebih lestari bagi memberi pulangan lebih baik kepada golongan sasar. Ini juga selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk membangunkan PP yang ‘self-reliant’ atau mampu berdiri sendiri.

LPP dan PP akan terus memainkan peranan masing-masing dengan cemerlang ke arah memberdayakan dan memperkasakan warga tani seterusnya merancakkan usaha untuk memajukan sektor agromakanan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya