DUN Sabah : KPLB Laksana Pelbagai Usaha Tingkat Keberkesanan Pentadbiran Peringkat Kampung

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah melaksanakan pelbagai usaha bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran di peringkat kampung.

Menterinya Datuk Jahid Jahim berkata, ia termasuklah memperkasa peranan dan fungsi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) melalui lantikan yang telus dan layak serta memenuhi syarat seperti yang terkandung dalam Garis Panduan yang ditetapkan.

Katanya, JPKK berperanan sebagai pentadbir kampung yang menjadi penghubung di antara kerajaan dan rakyat.

“Oleh itu, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk menjadikan badan ini sebagai satu institusi yang lebih efektif dan efisien dalam pentadbiran pembangunan kampung.

“Kementerian juga telah mengeluarkan Buku Panduan Tatacara Pengurusan dan Pentadbiran JPKK yang menggariskan matlamat dan hala tuju penubuhan JPKK, syarat pelantikan serta kuasa melantik dan lain-lain prosedur sebagai panduan kepada Badan JPKK bagi mengurus kampung masing-masing.

“Buku Panduan ini akan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Raime Unggi (ADUN Dilantik) yang bertanyakan sejauh manakah usaha pihak Kementerian untuk membantu rakyat luar bandar meningkatkan taraf sosioekonomi, utiliti dan pentadbiran mereka di kampung-kampung.

Jahid berkata, anggota JPKK juga seterusnya akan diberi bimbingan melalui pemberian latihan atau kursus JPKK yang akan diadakan secara tahunan agar dapat diberi ilmu pengetahuan yang bersesuaian dengan tanggungjawab dalam menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

Katanya, kursus yang dirancang terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19 namun Kementerian akan mengambil inisiatif untuk mengadakan kursus secara maya dalam masa yang terdekat.

“Selain itu, untuk memastikan pentadbiran kampung yang lebih berkesan, jumlah Badan JPKK juga telah disesuaikan dengan pertambahan bilangan kampung dan keluasan daerah di Sabah.

“Kementerian juga sedang bergerak ke hadapan dengan membangunkan Sistem Pengurusan JPKK bagi memudahkan pelbagai proses kerja yang berkaitan dengan JPKK,” katanya.

Katanya, ia termasuklah pelantikan, pembayaran elaun, pengurusan minit mesyuarat JPKK dan sebagainya bagi memastikan tadbir urus JPKK yang lebih sistematik dan efisien selari dengan perkembangan semasa dan pendigitalan kerajaan negeri.

One thought on “DUN Sabah : KPLB Laksana Pelbagai Usaha Tingkat Keberkesanan Pentadbiran Peringkat Kampung

  1. Jpkk harus mainkan peranan bersama ahli biro dilantik.yg perlu memperlihatkan gerak kerja berpasukan,kerana jpkk adalah jawatan kuasa yg mempunyai ahli biro berbanding ketua adat/ketua kampung/ketua masyarakat.setiap ahli biro jpkk seharusnya mempunyai peranan tugas yg boleh dilihat dari gerak kerja dan bukan hanya dilihat dari senarai lantikan atas kertas tetapi tidak wujud dan tidak berfungsi dlm segala gerak kerja dibawah pengurusan jpkk..

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *