DUN Sabah : Pakej Bantuan Dilancarkan Bantu Rakyat Sabah Terjejas Pandemik COVID-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri telah melancarkan beberapa pakej bantuan khusus untuk rakyat Sabah bagi meringankan kesukaran yang dihadapi sekaligus meningkatkan kuasa membeli.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia merupakan langkah pemulihan ekonomi jangka pendek yang diambil oleh kerajaan bagi membantu rakyat di negeri ini yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

“Sehingga kini, kerajaan negeri telah membelanjakan pakej bantuan berjumlah RM1.25 bilion sejak pandemik COVID-19 melanda negeri ini, termasuk RM324 juta pada tahun 2021.

“Pada masa sama, insiatif ini sudah tentu akan dapat meningkatkan kitaran wang dalam ekonomi negeri bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat Sabah dan perniagaan yang dijalankan di negeri ini dalam tempoh masa yang mencabar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong Ket Kiun yang bertanya apakah langkah dan tindakan kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan sosial Sabah sepenuhnya berikutan kesan wabak COVID-19.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam aspek pemulihan kesihatan, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM256.9 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Katanya, peruntukan itu adalah bagi pengurusan berkaitan COVID-19 di negeri ini sejak pandemik COVID-19 melanda Sabah manakala di pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebanyak RM110 juta.

“Kerajaan Negeri juga turut merakamkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi, yang turut melibatkan negeri Sabah.

“Kerajaan Persekutuan telah memperkenal dan melaksanakan beberapa pelan yang bertujuan untuk memulihkan sektor-sektor ekonomi dan sosial di negara ini yang terjejas, termasuk di negeri Sabah,” katanya.

Antara pelan yang diperkenalkan termasuklah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan juga pelbagai pakej rangsangan lain seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Dalam pada itu, Hajiji berkata, seramai 283,745 pekerja di negeri ini telah mendapat manfaat melalui Program Subsidi Upah melibatkan perbelanjaan sebanyak RM975 juta tahun ini.

“Rakyat negeri ini turut menerima bantuan tunai langsung melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) iaitu seramai 782,000 penerima melibatkan perbelanjaan sebanyak RM628 juta bagi meringankan kos sara hidup dan pemulihan ekonomi semua lapisan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Manakala Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sedang dalam proses pengagihan ketika ini,” katanya.

One thought on “DUN Sabah : Pakej Bantuan Dilancarkan Bantu Rakyat Sabah Terjejas Pandemik COVID-19

  1. Tidak semua rakyat sabah mendapat bantuan ini.Sepatutnya kerajaan negeri sabah memberi bantuan kepada semua bukan main pilih pilih

Tinggalkan Balasan kepada Irnah Bahrum Batal balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *