HomeUtamaDUN Sabah : Sabah Antara Negeri Terawal Buka Aktiviti Sosial Bagi Pulihkan...

DUN Sabah : Sabah Antara Negeri Terawal Buka Aktiviti Sosial Bagi Pulihkan Ekonomi Rakyat

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Sabah merupakan antara negeri terawal melaksanakan pembukaan beberapa aktiviti  dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembukaan itu adalah bagi memastikan kehidupan ekonomi rakyat dan aktiviti sosial dapat dipulihkan secara berperingkat.  

“Untuk makluman Dewan yang mulia ini, dalam bulan September ini sahaja beberapa aktiviti ekonomi dan sosial telahpun dibenarkan beroperasi secara berperingkat di bawah PPN Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 2 bagi seluruh Sabah sebagai tambahan kepada aktiviti yang telah dibenarkan sebelum ini.

“Ini termasuklah premis-premis makanan dan restoran, pelancongan domestik, gelembung perjalanan (Travel Bubble), institut latihan pemanduan, industri kreatif dan  sukan dan rekreasi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong Ket Kiun yang bertanya apakah langkah dan tindakan kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan sosial Sabah sepenuhnya berikutan kesan wabak COVID-19.

Hajiji berkata, aktiviti perniagaan lain yang dibenarkan dibuka termasuklah perkhidmatan pengangkutan dan sektor logistik, penjaja, sektor ekonomi perkhidmatan perlu dan rantaiannya merangkumi pertanian, perikanan, penternakan, perladangan, industri dan perniagaan, serta sektor perdagangan dan pengedaran.

“Bagi menyokong pemulihan ekonomi merentasi semua sektor, penyampaian perkhidmatan oleh perkhidmatan awam negeri akan diperkasa.

“Antaranya usaha pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan akan dipercepatkan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Tambahnya, meskipun konsep bekerja dari rumah dilaksanakan sepanjang PKP dan PPN bagi mengekang ancaman penularan COVID-19, namun ia tidak menjejaskan perkhidmatan utama kerajaan.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Kerajaan tidak benarkan pembinaan Rumah SMJ dibina di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya