HomeUtamaSabah Tubuh Jawatankuasa Menangani Banjir Kilat

Sabah Tubuh Jawatankuasa Menangani Banjir Kilat

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menubuhkan satu Jawatankuasa Menangani Banjir Kilat yang sering berlaku di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi memantau kejadian bencana banjir yang berlaku selain akan melaksanakan tindakan yang perlu diambil.

“Objektif utama penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi menangani isu  banjir kilat di Sabah khususnya di kawasan Bandaraya Kota Kinabalau dan di lain-lain daerah menerusi tindakan pemantauan, penguatkuasaan punca serta  tindakan jangka pendek dan panjang untuk menangani isu ini.

“Selain itu, jawatankuasa  ini akan menyelaraskan tindakan antara agensi menerusi bidang kuasa masing-masing supaya tindakan bersepadu dapat diambil” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusi mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut di Bilik Mesyuarat Kinabalu bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sembulan disini semalam.

Bung yang juga Pengerusi Jawatankuasa ini berkata, ianya akan dianggotai  pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran, JKR, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan .

“Pembabitan pelbagai agensi dalam jawatankuasa  pemandu  ini adalah amat penting kerana isu  banjir kilat  bukan sesuatu masalah yang bersifat ‘silo’.

“Punca selain faktor cuaca adalah pelbagai dan memerlukan tindakan bersepadu yang pintar serta cekap demi kesejahteraan rakyat” katanya

Sehubungan dengan itu Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, jawatankuasa tersebut bertindak sebagai jawatankuasa pemandu yang akan turun ke lapangan untuk membuat kajian terperinci bagi mengenalpasti punca banjir kilat yang sering berlaku selain dari faktor cuaca.

“Jawatankuasa pemandu ini akan mencadangkan cara mengatasinya selain menyediakan anggaran kos bagi membina atau mendalamkan sungai serta perparitan perlu di perbesarkan yang menjadi punca kepada masalah banjir kilat” katanya

Katanya, Negara berdepan tiga bencana alam utama, iaitu banjir, banjir kilat dan tanah runtuh. Umumnya, hujan lebat dibawa angin monsun timur laut adalah faktor semula jadi utama menyebabkan berlaku bencana banjir.

“Namun, faktor campur tangan keterlaluan manusia melalui aktiviti pembangunan dan perlakuan tidak lestari memburukkan lagi kejadian banjir di sesuatu kawasan,” katanya.

Katanya, terdapat keperluan segera untuk mengutamakan penyesuaian perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana dengan menjadikan sebagai agenda arus perdana dalam perancangan pembangunan.

“Langkah utama mengatasi banjir adalah dengan mempunyai dasar, perancangan dan pelan tindakan mengurangkan risiko banjir yang mantap.

“Pelan ini perlu diintegrasi dengan pelan pembangunan sosial dan ekonomi supaya dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” katanya

Dalam pada itu Bung berkata, masyarakat juga harus diberi kesedaran berterusan bahawa bencana alam seperti banjir sering kali berlaku tanpa diduga, justeru adalah amat penting menjaga dan menghargai alam semula jadi melalui interaksi lestari dalam segala aspek kehidupan.

RELATED ARTICLES
Utama

Pindaan Ordinan Buruh Sabah diluluskan selepas 20 tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular