HomeUtamaPemberian Vaksinasi Menerusi PICK Bantu Turunkan Jumlah Jangkitan COVID-19

Pemberian Vaksinasi Menerusi PICK Bantu Turunkan Jumlah Jangkitan COVID-19

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Usaha dan strategi dalam pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada seluruh rakyat di negeri ini telah menunjukkan trend penurunan jumlah jangkitan COVID-19.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, situasi itu jelas menunjukkan individu lengkap vaksinasi lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk.

Katanya, perkembangan positif ini terus dapat dilihat sekiranya Sabah telah mencapai kadar vaksinasi 80 peratus imuniti kelompok.

“Sehingga 29 September lalu, jumlah penduduk dewasa yang lengkap suntikan vaksin adalah sebanyak 64.3 peratus manakala jumlah penduduk dewasa sekurang-kurangnya menerima satu dos adalah 73.9 peratus.

“Perkembangan yang positif ini menyebabkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka di Sabah bermula 1 Oktober dengan memastikan semua pekerja dan pelanggan lengkap suntikan vaksin serta berstatus risiko rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi ke-68 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu disini hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Kadzim M. Yahya dan Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, berprinsip kebertanggungjawaban dan komited, satu bentuk masterplan yang bersifat komprehensif dalam membangunkan negeri Sabah, dengan memanfaatkan kekuatan tersendiri dan jati diri semangat cintakan negeri Sabah sebagai tunjangnya.

Katanya, satu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025) telah dilancarkan pada 29 Mac lalu.

“Pelan Pembangunan SMJ ini memayungi pelbagai pelan sektoral sedia ada. Ia juga sejajar dengan pelan di peringkat nasional dan global iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Sustainable Development Goals 2030 (SDG2030).

“Pelan ini ditunjangi dengan tiga elemen iaitu S: Sektor Utama Fokus Pertumbuhan Ekonomi iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; M: Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta J: Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

“Sejak pelan ini dihasilkan, pelbagai inisiatif di bawah elemen-elemen ini telah memberi manfaat kepada rakyat di negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan Negeri dan seluruh rakyat, berikrar untuk menumpahkan sepenuh taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertua Negeri untuk terus menaungi Negeri Sabah yang tercinta ini.

“Di kesempatan ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima darjah-darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan Negeri bersempena Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah pada tahun ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular