Rakyat Diingatkan Terus Patuh SOP – Tun Juhar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Rakyat Sabah perlu terus mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan meskipun aktiviti ekonomi dan sosial dibenar beroperasi secara berperingkat.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan kerajaan dalam usaha mengekang penularan COVID-19 termasuk memperhebatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada seluruh rakyat.

“Pandemik ini belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, apatah lagi ia sudah berada di dalam komuniti. Justeru, kitalah yang bertanggungjawab dalam menjaga serta memastikan keselamatan diri sendiri, keluarga dan orang lain dengan membendung pandemik ini daripada terus menular. 

“Kepada mereka yang belum menerima vaksin, segeralah berbuat demikian melalui program-program outreach atau di pusat-pusat pemberian vaksin,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Khas Sempena Hari Jadi Rasmi Ke-68 di Istana Seri Kinabalu disini hari ini.

Tun Juhar berkata, pemulihan ekonomi dan sosial yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menerusi pelan pembangunan negeri kini telah memberi impak positif kepada Sabah. 

Justeru, beliau menggesa seluruh rakyat untuk sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi menjayakan program-program pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan. 

“Kita perlu bersatu dan terus berusaha untuk memulihkan kembali ekonomi negeri dan  kehidupan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.  Perpaduan adalah asas kepada kestabilan, keharmonian dan tunjang kepada kejayaan usaha kita. 

“Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh lapisan rakyat agar terus memperkukuhkan dan mengekalkan perpaduan yang telah menjadi identiti dan kebanggaan kepada negeri ini,” katanya.

Tambahnya, ketika berhadapan ancaman pandemik COVID-19 inovasi dalam teknologi pendigitalan semakin mengambil tempat dalam kehidupan.

“Teknologi ini sememangnya memudahkan banyak urusan, selamat, penyampaian perkhidmatan yang cekap dan perkongsian maklumat yang pantas. 

“Pelaksanaan konsep Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai satu norma baharu akibat pandemik COVID-19 merupakan contoh bagaimana teknologi digital mampu berfungsi untuk kita bekerja tanpa mengira waktu dan tempat kita berada. 

“Malah, interaksi dan urus niaga dalam talian terus menjadi pilihan bagi menggantikan pertemuan bersemuka sama ada oleh mereka di institusi pendidikan, perkhidmatan awam, swasta, sektor industri dan perniagaan, hingga merentasi pelbagai lapisan masyarakat. 

“Ini ditambah dengan kemunculan pelbagai aplikasi persidangan video dan platform urus niaga dalam talian.

“Sehubungan itu, pembudayaan teknologi dan amalan budaya baharu ini perlu terus disemarakkan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, ketidaktentuan ekonomi dan cabaran-cabaran di peringkat global dan nasional menuntut penguasaan kemahiran baharu agar cekap dan bijak dalam mengurus tadbir cabaran yang dihadapi. 

Justeru, segala perancangan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam membangun modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif serta inovatif amat bertepatan untuk menjadikan negeri Sabah terus maju jaya. 

Berucap pada istiadat tersebut, Tun Juhar turut merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan seluruh anggota kabinet atas pelaksanaan pelan pembangunan yang komprehensif untuk membawa kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025). 

“Hubungan akrab yang terjalin dengan Kerajaan Persekutuan juga sudah pasti akan mempermudahkan lagi pelaksanaan program-program pembangunan yang dirancang untuk manfaat rakyat. 

“Saya juga menghargai keprihatinan kerajaan yang menyediakan pelbagai pakej dan penyaluran bantuan kepada seluruh lapisan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Sebagai sebuah negeri bertuah yang dikurniakan kekayaan sumber asli dan alam semulajadi, serta kekuatan perpaduan dan keharmonian, negeri ini berada di landasan yang tepat untuk mengecapi kemajuan dengan lebih pesat lagi melalui kepimpinan Kerajaan Negeri yang berkesan dan prihatin dengan keperluan rakyat,” katanya.

Pada istiadat tersebut, seramai 23 orang menerima darjah kebesaran, bintang serta pingat sempena hari jadi rasmi ke-68 pada tahun ini.

Antaranya,  isteri mantan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali yang dikurniakan darjah kebesaran, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima. 

Hadir sama pada istiadat berkenaan ialah mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dan 

Semua tetamu kenamaan akan diraikan dalam Majlis Santapan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang bermula jam 8 malam ini./Penerangan-

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *