Cubaan Seludup Minyak Bersubsidi Dipatahkan ATB2

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

SEMPORNA: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak bersubsidi di perairan Pulau Bohayen, di sini semalam.

Semua minyak yang dibawa dua bot laju dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan petugas yang keluar membuat rondaan pada jam 2.45 pagi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan ATB2 berkata, kedua-dua bot berkenaan dikesan bergerak dari arah Semporna menuju ke Sitangkai, Filipina.

“Pasukan operasi telah berjaya memintas sebuah bot laju manakala sebuah lagi bot laju berjaya meloloskan diri.   Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut terdiri daripada dua orang awak-awak lelaki warganegara Filipina selain tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sebanyak 35 tong minyak petrol berkapasiti 35 liter/tong, berjumlah sebanyak 1225 liter berada di dalam bot berkenaan.

“Bot tersebut ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Kenyataan itu turut berkata, kesemua awak-awak bot telah dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna bagi siasatan lanjut.

Katanya, kerjasama yang erat di antara ATM, ESSCOM, PDRM, KKM dan PPM berada di tahap yang terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan di Perairan Pantai Timur Sabah.

Dalam pada itu, Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad turut merakamkan tahniah kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 dan Tim QRF atas kejayaan tersebut.

Beliau turut mengingatkan anggota operasi agar tidak mudah leka dan sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menangani cabaran keselamatan serta lain-lain ancaman sepanjang masa.

“Operasi akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA di Perairan Pantai Timur Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *