COVID-19: Pematuhan SOP Kendiri Kunci Elak Penularan Jangkitan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU : Kaedah bergantung sepenuhnya kepada petugas barisan hadapan dan penguatkuasaan dilihat sudah tidak berkesan dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tidak ada siapa boleh meramalkan untuk menjadi pembawa dan siapa yang juga dijangkiti ketika ini.

“Berdasarkan jumlah kumulatif dan analisis jangkitan secara harian, kita melihat kaedah bergantung kepada petugas barisan hadapan dan juga penguatkuasaan sudah tidak berkesan

“Kita perlu terima hakikat bahawa kita harus hidup dengan virus,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, amalan terbaik yang boleh disarankan ialah pematuhan prosedur standard operasi (SOP) kendiri.

“Selain itu, sokongan kepada usaha vaksinasi menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga sedang giat dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, Sabah mengekalkan trend penurunan kes positif dengan mencatatkan sebanyak 767 kes yakni penurunan marginal (-17) kes berbanding semalam.

Katanya, trend penurunan kumulatif kes Sabah pada hari ini adalah sejajar dengan jumlah daerah yang mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 15 daerah manakala 11 daerah lain mencatatkan sedikit peningkatan dan satu daerah iaitu Kinabatangan mengekalkan catatan sebagaimana semalam.

“Bagi daerah yang mengalami trend penurunan berbanding catatan kes semalam, Ranau mencatatkan penurunan tertinggi hari ini dengan -21 kes, Beluran -16 kes, Tenom -14 kes, Pitas -12 kes dan Kunak -11 kes.

“Daerah yang mencatatkan peningkatan ketara pada hari ini pula didominasi oleh Kota Kinabalu yang mencatatkan peningkatan sebanyak +33 kes, Kudat +19 kes, Sipitang +12 kes dan Papar +11 kes,” katanya.

Katanya, sistem kemaskini pendataan bagi daftar lewat kes jangkitan harian juga berada dalam keadaan baik sungguhpun jumlah kes tertunggak untuk kes daftar melebihi empat hingga lima hari ini meningkat sedikit berbanding semalam.

“Walau bagaimanapun, trend Saringan Kontak Rapat sebagai penyumbang utama kes harian di Negeri Sabah masih kekal iaitu 54.63 peratus daripada jumlah kes harian pada hari ini.

“Selain itu, dengan peratusan 35.07 peratus daripada kumulatif kes pada hari ini yang datangnya daripada Saringan Bergejala memperlihatkan betapa trend jangkitan di Negeri Sabah bukan lagi bersifat lokaliti tertentu, tetapi sudah merebak ke dalam seluruh komuniti,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan kepada statistik pengkategorian kes-kes jangkitan Covid-19 pada hari ini, 91.52 peratus  daripada kes jangkitan hari ini hanya pada Kategori 1 dan 2, manakala hanya 5 kes Kategori 3, 6 kes Kategori 4 dan 3 kes Kategori 5.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *