Kastam Patah Cubaan Seludup Dadah Lebih 12KG Guna Ikan Sejuk Beku Di KKIA

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU : Jabatan Kastam Diraja Malaysia mematahkan cubaan menyeludup lebih 12 kilogram (kg) dadah ke luar negara bernilai lebih RM500,000 dengan menggunakan 23 kotak polistirena mengandungi ikan sejuk beku antaranya ikan merah dan kerapu di sini, 29 Sept lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Abdullah Jaapar berkata dadah dipercayai Methamphetamine 9.21kg bernilai RM331,956, dan Ketamine 3.19 kg dengan nilai RM169,070 itu dirampas di Cawangan Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

“Lebih kurang pukul 5 petang, Cawangan Kargo Udara, LTAKK telah menerima makluman bahawa terdapat bungkusan plastik yang mencurigakan dan disyaki mengandungi bahan terlarang dadah di dalam kotak polistirena ikan sejuk beku untuk tujuan eksport ke luar negara. 

“Kes dirujuk kepada Cawangan Penguatkuasaan, LTAKK dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati 23 bungkusan plastik lutsinar yang dijumpai di dalam 23 kotak polystyrene mengandungi hablur kristal yang disyaki dadah,” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini hari ini.

Abdullah berkata ini merupakan kes kedua tahun ini dengan modus operandi sama iaitu menggunakan kotak polistirena mengandungi ikan sejuk beku eksport luar negara bagi mengaburi pihak berkuasa, dengan kes pertama ialah cubaan menyeludup 8.66kg dadah bernilai RM404,375 pada 29 Ogos lepas.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan beliau menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kes itu atau sebarang kegiatan  penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *