PICK : Sandakan Rancakkan Program Vaksinasi COVID-19 Bergerak

Read Time:1 Minute, 8 Second

SANDAKAN : Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan (PKKS) akan merancakkan lagi proses vaksinasi Covid-19 secara bergerak di daerah ini dengan dibantu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dari Kota Kinabalu.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Johari Awang Besar berkata, lima pasukan petugas kesihatan dari Kota Kinabalu dijangka tiba pada Rabu untuk membantu dalam mengesan dan memberi vaksin secara terus dari rumah ke rumah.

“Disebabkan pencapaian kita (Sandakan) masih rendah, pihak PKKS akan bergabung tenaga dengan JKNS.

“Sasaran kita adalah mengikut keutamaan iaitu kawasan yang ada bilangan kes tinggi, mempunyai rekod banyak kes mati luar hospital (BID), mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan bukan warganegara, khususnya pendatang asing tanpa izin yang khuatir untuk hadir di pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Menurut Dr Johari, dengan penambahan lima pasukan itu, kini terdapat 15 pasukan vaksinasi bergerak di daerah ini.

Katanya, 10 pasukan telah pun memulakan program itu semalam, yang akan dilaksanakan selama sebulan.

“Kita akan pertimbangkan kalau ada keperluan untuk melanjutkan tempoh ini kerana untuk mengetuk pintu setiap rumah di lebih 600 lokaliti, perkampungan dan taman perumahan agak sukar,” katanya yang turut menghargai kerjasama yang diberikan agensi terlibat, terutamanya polis dan Angkatan Pertahanan Awam.

Dr Johari berkata, setakat ini, 51.33 peratus daripada 363,100 penduduk dewasa dan kira-kira 55,000 remaja yang layak menerima vaksin di Sandakan telah lengkap vaksinasi Covid-19. – Bernama

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.