PICK : Sabah Menghampiri 70 Peratus Lengkap Divaksinasi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Kira-kira 2.6 peratus sahaja lagi untuk mencapai kadar lengkap 70 peratus vaksinasi populasi dewasa di Sabah apabila merekodkan jumlah 67.4 peratus sehingga semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu membabitkan seramai 1,859,799 orang telah lengkap menerima dos kedua.

“Sehingga semalam juga sebanyak 2,061,944 atau 74.8 peratus populasi dewasa di Sabah telah menerima satu dos vaksin tersebut.

“Bagi pemberian vaksin COVID-19 kepada remaja pula, seramai 282,982 remaja atau 66.4 peratus berusia 12 hingga 17 tahun di Sabah telah menerima satu dos vaksin COVID-19,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Beliau berkata, seramai 1,406 orang remaja kini telah lengkap menerima vaksinasi COVID-19.

Ketika ini Sabah telah melaksanakan rentas daerah dalam zon yang dibenarkan selepas 18 buah daerah di negeri ini mencapai kadar vaksinasi lebih 60 peratus.

Manakala sebanyak sembilan lagi daerah dikategorikan sebagai ‘Stand Alone District’ ekoran kadar vaksinasi masih dibawah 60 peratus.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah September lalu, Masidi menyatakan kebenaran untuk rentas daerah di seluruh Sabah akan dilaksana selepas 70 peratus penduduk dewasa negeri ini lengkap menerima dua dos vaksin.

Katanya, kerajaan  negeri memutuskan perkara itu sebagai langkah melaksanakan liberalisasi secara terkawal dan berperingkat dalam menangani pandemik COVID-19 di Sabah.

“Keputusan untuk membuka sempadan daerah di seluruh negeri hanya akan dilakukan secara berperingkat dengan melaksanakan semula sistem zon.

“Langkah itu diambil selepas populasi dewasa Sabah yang lengkap divaksin sudah mencapai 60 peratus,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *