UMS Terima 4,469 Pelajar Baharu Sesi 2021/2022

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU : Seramai 4,469 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan Sesi 2021/2022.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk ChM.Ts.Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,692 pelajar berasal dari Sabah, 1,695 dari Semenanjung dan Sarawak, dan 35 pelajar adalah pelajar antarabangsa  membabitkan Negara China, India, Brunei, Indonesia, Jepun, Korea dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, daripada jumlah itu juga, UMS turut menerima 10 orang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Peluang bergelar sebagai seorang mahasiswa tidak datang bergolek. Saya pasti pelbagai usaha telah dikerah untuk menggapai impian agar mampu menjejakkan kaki ke Menara Gading.

“Justeru itu, usaha ini tidak harus disia-siakan. Saudara dan saudari harus menggenggam tanggungjawab ini sebagai sebuah amanah untuk memastikan negara kita tidak ketandusan generasi yang berilmu pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Bersama Naib Canselor dan Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2021/2022 secara maya disini hari ini.

Dr Taufiq berkata, sejak pandemik COVID-19 bermula, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) lebih banyak dijalankan secara dalam talian, namun ia tidak menjejaskan proses pembelajaran secara keseluruhannya.

Katanya, inilah realiti yang harus dipikul agar usaha menyediakan para pelajar dengan ilmu pengetahuan dan nilai kemanusiaan dapat diteruskan.

“Walau bagaimanapun, kita menyedari kekangan yang wujud dalam kalangan pelajar sepanjang tempoh PdP secara dalam talian.

“Disebabkan itu, melalui keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga UMS, kita telah memberi ruang kepada pelajar yang berkeperluan khususnya pelajar yang mengalami masalah capaian internet dan persekitaran yang kurang kondusif untuk masuk ke kampus bagi menjalankan PdP dengan menggunakan kemudahan yang disediakan di dalam UMS. Perkara yang sama juga akan dilakukan pada semester ini,” katanya.

Tambahnya, usaha itu dilakukan bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam proses pembelajaran yang berlangsung.

“Pihak Universiti sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan pelajar agar aspek kebajikan sentiasa terjaga dan proses PdP berjalan dengan lebih kondusif.

“Akhirnya kita inginkan para pelajar merasakan pengalaman yang menyeronokkan sebagai pelajar universiti meskipun dalam keadaan interaksi kita yang terbatas. Perkara ini sesuai dengan Pelan Strategik UMS yang pertama iaitu menyediakan pengalaman pendidikan yang berkualiti kepada pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Taufiq turut mengingatkan para pelajar yang belum mengambil Vaksin COVID-19 agar berbuat demikian dengan segera.

Katanya, pengambilan vaksin dapat memberikan perlindungan buat diri sendiri, ahli keluarga dan juga masyarakat.

“Semoga dengan ikhtiar ini kita dapat beralih ke fasa Endemik seperti yang disebutkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia dan mula beradaptasi hidup bersama virus COVID-19 serta menjalani kehidupan seperti sedia kala.

“Sehingga hari ini, kadar vaksinasi kakitangan UMS telah mencapai 95 peratus manakala pelajar UMS telah melebihi 80 peratus,” katanya.

Katanya, pihak UMS dalam fasa ini sedang menguatkuasakan keperluan melengkapkan dua dos Vaksin COVID-19 untuk memasuki kampus dan berurusan dalam premis Universiti.

“Hal ini seiring dengan pengumuman Menteri Pengajian Tinggi berhubung Pengoperasian Institusi Pendidikan Tinggi. Ia dilakukan demi memastikan pihak Universiti menyediakan persekitaran yang selamat buat warganya.

“Oleh itu, sama-sama kita jalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan kepada usaha vaksinasi yang dijalankan sehingga hari ini dengan mengambil vaksin di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin berdekatan anda,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *