PICK : Kerajaan Tingkat Pemberian Vaksin Di Daerah Catat Peratusan Rendah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

PUTATAN: Kerajaan negeri telah mula menghantar pasukan tambahan ke beberapa buah daerah yang dikenal pasti mempunyai rekod peratusan vaksinasi rendah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, ia adalah sebagai salah satu inisiatif berterusan kerajaan Sabah untuk bagi mengoptimakan pemberikan vaksin di negeri ini.

“Terdapat beberapa daerah yang masih mempunyai pencapaian pemberian vaksin agak rendah dan ini juga memerlukan kerjasama rapat orang ramai untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan sasaran imuniti kelompok tercapai.

“Selain itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga telah menghantar tambahan kakitangan untuk membuat program di lapangan untuk mengoptimakan pemberian vaksin kepada golongan dewasa di daerah-daerah tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Kembara Prihatin bersama Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Sabah di Kampung Ketiau, Putatan disini pagi tadi.

Shahelmey berkata, pencapaian pemberian vaksin ini turut menjadi syarat peralihan fasa dari fasa pandemik ke fasa endemik.

“Pemberian vaksin ini bukan sahaja untuk melindungi diri kita sendiri malah ia juga turut melindungi keluarga dan masyarakat.

“Ia juga dijadikan sebagai syarat untuk kita mendapat peralihan daripada fasa pandemik ke fasa endemik,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar menyambut seruan untuk mendapatkan vaksin dengan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran atau program jangkauan luar (outreach) yang dilaksanakan di lapangan.

“Penduduk Sabah sama ada warga negara Malaysia ataupun bukan warga negara Malaysia yang belum menerima vaksin, kita mintalah tolong datang ke PPV berdekatan untuk menerima vaksin,” katanya.

Terdahulu, dalam program tersebut, Shahelmey turut meminta pemimpin-pemimpin masyarakat agar mengemaskini data golongan sasar di kawasan masing-masing.

Beliau berkata ini bagi mengelak kejadian nama penerima yang layak tercicir daripada menerima bantuan.

“Dalam usaha kita untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan, saya juga ingin berpesan kepada pemimpin masyarakat seperti Pejabat Daerah, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di kawasan masing-masing untuk membantu mengemaskinikan data penerima-penerima bagi golongan sasar yang disasarkan.

“Ini bertujuan untuk memastikan bahawa kejadian-kejadian penerima yang betul-betul layak menerima bantuan tidak tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan oleh Kerajaan,” katanya .

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *