Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Catat Kemajuan 59.67 Peratus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

KUALA LUMPUR : Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah membabitkan pelaksanaan 12 pakej kerja di negeri ini telah mencatat kemajuan sebanyak 59.67 peratus sehingga September lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, selain itu, tiga lagi pakej kerja baharu melibatkan laluan dari Batu 32 Sandakan hingga ke Sungai Baoto telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) dan akan bermula tahun ini.

“Satu pakej kerja baharu yang melibatkan laluan dari Serusup ke Pituru pula telah diperuntukkan di dalam Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), menjadikan keseluruhan 16 pakej kerja akan dilaksanakan buat masa kini.

“Selain menjimatkan masa perjalanan dan kos pengangkutan yang akan memberi manfaat kepada 3.9 juta rakyat Sabah secara amnya, Projek ini perlu dilihat dari aspek yang lebih luas terutama daripada segi rantaian nilai atau ‘value chain’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Bobbey Suan berhubung status projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah pada Persidangan Dewan Negara disini hari ini.

Arthur berkata, pembinaan lebuhraya ini juga membuka peluang kepada kontraktor-kontraktor tempatan Sabah daripada pelbagai peringkat pelaksanaan samada sebagai perunding atau consultant, vendor, pembekal mahupun kontraktor.

Katanya, projek ini akan menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi di kalangan anak tempatan negeri Sabah.

“Projek ini juga akan merancakkan sektor perindustrian dan pelaburan di wilayah koridor Sabah dan ini bertepatan dengan misi dan objektif mempromosikan keseimbangan diantara wilayah dan merentangi ekonomi seimbang diantara bandar dan luar bandar.

“Dalam masa yang sama, penambahbaikan dalam konteks perkhidmatan logistik dapat dipertingkatkan khususnya bagi pelaburan sedia ada yang telah dikenal pasti dibawah Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

“Kerajaan sentiasa prihatin dan komited dalam memastikan kelancaran dan kelangsungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sebagai pemangkin pembangunan sektor sosio-ekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek tersebut dan memberi manfaat khususnya kepada rakyat Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *