HomeUtamaSabah Lancar Bas Elektrik, Mahu Lebih Banyak Pihak Teroka Pengangkutan Awam Berteknologi...

Sabah Lancar Bas Elektrik, Mahu Lebih Banyak Pihak Teroka Pengangkutan Awam Berteknologi Hijau

Read Time:2 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu lebih banyak pihak meneroka penggunaan bas elektrik (e-Bus) yang mampu digunakan sebagai landasan utama kepada pengangkutan awam berteknologi hijau di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, pihaknya juga yakin penerokaan e-Bus itu akan mampu menjadi kenyataan bagi kegunaan penduduk di Kota Kinabalu dan di tempat lain di negeri ini.

Katanya, Sabah kini telah mengambil langkah terbaik dalam pengangkutan awam berteknologi hijau menerusi pelancaran e-bus sulung negeri Sabah yang diinisiatifkan oleh cabang pelaburan strategik kerajaan negeri Qhazanah Sabah Berhad (QSB).

“Ini adalah perkembangan yang baik untuk menjadikan pengangkutan awam kita berada pada landasan yang tepat untuk masa depan.  Jumlah kenderaan di jalan raya di negeri ini juga semakin meningkat.

“Kita perlu melakukan yang terbaik bagi mengatasi keadaan ini.  Di seluruh dunia, penggunaan kenderaan bertenaga elektrik semakin meningkat kerana ia dilihat lebih mesra alam untuk alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan e-Bus di Wisma Tun Fuad Stephens disini hari ini yang diwakili pembantunya Datuk Joniston Bangkuai.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif QSB Mohd Shukor Abdul Mumin; Pengarah QSB Datuk Dr. Johnson Tee, Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Rizal Dahli, Pengarah Eksekutif Gemilang Coachwork, Pang Jun Jie, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Noredah Othman, Pengarah Lembaga Perlesenan Komersial Sabah Norsiah Patah dan Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Sr. Lifred Wong.

Jafry turut memuji langkah QSB yang bekerjasama dengan Gemilang Coachwork Sdn Bhd iaitu salah sebuah pengeluar badan bas e-Bus dan aluminium terkemuka di Asia.

Dalam pada itu, Shukor berkata, Sabah akan melangkah lebih maju apabila projek perintis e-Bus ini dimulakan yang akan memanfaatkan tenaga hijau bagi menggerakkan pengangkutan awam di negeri ini.

“QSB berbangga apabila dapat memainkan peranan dan usaha kerajaan negeri mempromosikan ekonomi hijau sejajar dengan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).

“e-Bus ini juga akan membantu mempromosikan gaya hidup yang lebih ekologi secara lestari dan membantu mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar.  Kami juga akan berusaha untuk melaksanakan inovasi secara berterusan melalui pelaburan strategik dan untuk membantu kerajaan Sabah dalam usaha membangunkan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, QSB turut terbuka dan bersedia untuk melaksanakan inisiatif strategik untuk kepentingan rakyat di negeri Sabah.

E-Bus dijangka akan mula digunakan selepas koordinasi dengan pihak berkuasa dimuktamadkan bagi menampung pergerakan ribuan pengguna yang tinggal di Kota Kinabalu dan percubaan e-Bus dijangka bermula pada bulan Disember.

Selain menyediakan perjalanan ‘hijau’, e-Bus dengan kapasiti sehingga 66 penumpang akan mempunyai akses yang lebih mudah untuk warga emas dan orang kurang upaya di kerusi roda kerana dilengkapi dengan laluan menaiki kenderaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular