PICK : PPV IPT-UMS Tamat Operasi Petang Jumaat Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:55 Second

KOTA KINABALU : Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi Universiti Malaysia Sabah (IPT-UMS) akan mengakhiri operasi pemberian Jumaat ini.

Pengarah Hospital UMS Profesor Dr Helen Lasimbang berkata, ia selaras dengan beberapa lagi penutupan PPV di seluruh Sabah pada hari yang sama.

“Adalah dimaklumkan bahawa PPV IPT-UMS akan beroperasi sehingga petang Jumaat ini.

“Semua penerima vaksin bagi dos kedua selepas itu diminta merujuk kepada aplikasi MySejahtera untuk maklumat tarikh dan lokasi janji temu suntikan vaksin dos kedua,” katanya ketika dihubungi Sabah Media disini hari ini.

Dr Helen berkata, PPV IPT-UMS yang dibuka sejak 14 Jun lalu telah melaksanakan pemberian vaksin kepada individu dewasa sebanyak 112,164 dos suntikan sehingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 59,266 dos membabitkan pemberian dos pertama manakala sebanyak 52,898 dos melibatkan pemberian dos kedua.

“PPV IPT-UMS juga turut melaksanakan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang bermula 16 September lalu.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 8,463 dos vaksin telah diberikan kepada individu remaja dimana sebanyak 4,916 dos bagi dos pertama manakala selebihnya 3,547 dos melibatkan dos kedua,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *