JaPen Sabah Mahu Lahirkan Warga Kerja Dinamik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Sabah mahu melahirkan warga kerja yang dinamik serta sentiasa berusaha untuk mengembangkan idea-idea baharu.

Pengarah Penerangan Sabah Nadzerah Abdullah berkata, ia selaras dengan tema sambutan hari Inovasi dan Kecemerlangan JaPen Sabah iaitu ‘Warga Kreatif Jabatan Inovatif’.

“Pengiktirafan serta penghargaan diberi kepada warga jabatan yang berjaya menghasilkan inovasi yang signifikan, menyelesaikan masalah dan memberi impak dalam melaksanakan tugasan harian.

“Sambutan seumpama ini merupakan inisiatif dalam menyemai dan memperkasakan budaya inovasi dan kreatif dalam kalangan warga kerja.

“Selain itu, penambahbaikan yang terhasil daripada cetusan idea-idea dalam setiap aspek kerja juga dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam majlis tersebut di Wisma Dang Bandang, disini semalam.

Dalam pada itu, Nadzerah menyeru warga JaPen agar lebih proaktif untuk menghasilkan inovasi-inovasi terkini bagi meningkatkan daya kerja dan membantu jabatan dalam memperkasakan perkhidmatan jabatan

Pada sambutan itu, dua Anugerah Inovasi Individu dipertandingkan iaitu Kategori Inisiatif Inovasi Individu Terbaik yang dimenangi oleh Datu Azlee Datu Abdullah, Hamidah Mat Amin ditempat kedua sementara tempat ketiga dimenangi oleh Rejab Hadi Mansor.

Bagi Kategori Influencer Media Sosial Terbaik pula, tempat pertama disandang oleh Mohammad Abdul Rahman, Azrul Azham Azmi di tangga kedua dan Mohd Sabri Sailus di tempat ketiga. 

Sementara itu, Anugerah Inovasi Berkumpulan Kategori Inisiatif Inovasi Terbaik dimenangi oleh Bahagian Media Siber, disusuli Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Kota Marudu dan Bahagian Penerbitan dan Dasar Negara. 

Kategori Info On Wheels (IOW) Kreatif, tempat pertama jatuh kepada PPD Kota Marudu, PPD Papar ditempat kedua dan PPD Kota Kinabalu di tangga ketiga.

Manakala, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat mengungguli Kategori Inovasi Perkhidmatan dan Bahagian Penerbitan dan Dasar Negara di tempat kedua.

Turut menerima anugerah ialah Jainal Naim bagi Anugerah Khas Pengarah serta Pejabat Penerangan Tenom bagi Anugerah Khas Kreativiti dan Anugerah Khas Outreach COVID-19.

Pada majlis sama, turut diadakan ialah Program Sepakat@Komuniti (Jalinan Kasih) iaitu penyampaian bakul makanan kepada 25 warga JaPen yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta petugas yang pernah dijangkiti wabak COVID-19.

Turut hadir,  Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa, Ketua-ketua Penolong Pengarah setiap bahagian./Penerangan-

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *