Segera Salur Bekalan Air Bersih Di DUN Sebatik – Hassan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 1 Second

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik Hassan A Ghani Pg Amir memohon kerajaan supaya menyegerakan usaha untuk menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk di kawasan pedalaman DUN itu.

Beliau berkata ini kerana masih ada rakyat di kawasan DUN Sebatik yang terpaksa bergantung penuh dengan sumber air dari sungai berdekatan untuk melakukan rutin harian termasuk mandi dan mencuci pakaian yang mendedahkan penduduk kepada serangan haiwan liar.

“Jika nasib tidak baik, penduduk berdepan ancaman buaya ketika mendapatkan keperluan asas ini, seperti kes pada Ahad lepas seorang wanita ditemukan maut diserang buaya ketika mandi di sungai bersama neneknya di Kampung Serudung Laut.

“Justeru kita berharap perkara ini diberi perhatian serius dan segera ditangani kerana ia menghantui penduduk, tragedi diserang buaya ketika turun ke sungai bagi melakukan rutin harian bukan pertama kali berlaku di Kalabakan,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Hassan berkata isu bekalan air bersih di DUN Sebatik itu sudah disuarakan kepada kerajaan negeri dan bahaya serangan buaya berkenaan boleh dijadikan iktibar bagi menyegerakan bekalan air bersih ke kawasan tersebut.

Sementara itu katanya Kampung Serudung dalam proses permohonan untuk diwartakan sebagai Kampung Sejahtera di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi membolehkan kampung itu dibangunkan dengan lebih baik. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *