14 Kampung Di Tawau ‘Hotspot’ Bagi Seludup Pendatang Asing, Dadah

Read Time:1 Minute, 43 Second

TAWAU: Peranan kepolisan komuniti dimainkan penduduk kampung yang tinggal berdekatan pesisir pantai di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dapat membantu pasukan keselamatan menangani isu jenayah rentas sempadan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, misalnya di Tawau 14 daripada 34 kampung berdekatan pesisir pantai dikesan aktif sebagai kawasan panas bagi penyusupan pendatang haram, penyeludupan barang kawalan serta dadah.

Katanya, tiga daripada 14 kampung terbabit adalah Kampung Membalua, Kampung Batu Payung serta Kampung Tinagat, namun pembabitan aktif penduduk dengan kepolisan komuniti dapat mengurangkan kadar jenayah di kawasan berkenaan.

“Apabila Unit Keselamatan Komuniti serta Skim Rondaan Sukarela diaktifkan di tiga kampung ini, banyak kejayaan pembanterasan jenayah dapat dilakukan buktinya difahamkan pada tahun ini saja penduduk menahan seramai 32 orang antaranya pendatang haram, tekong darat serta pengedar dadah,” katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program keselamatan komuniti dan rondaan sukarela anjuran ESSCom yang dirasmikan Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Pada program dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) itu, 43 penduduk yang juga anggota Unit Keselamatan Komuniti dan Skim Rondaan Sukarela menerima sijil penghargaan daripada Ahmad Fuad.

Ahmad Fuad berkata, tiga kampung berkenaan merupakan contoh terbaik di Sabah kerana dengan peranan mereka dapat membantu pasukan keselamatan mengukuhkan penguatkuasaan Op Benteng ketika ini.

“Berdasarkan perisikan ESSCom, kami dapati sejak penglibatan aktif penduduk kampung dengan komuniti keselamatan serta rondaan sukarela ini, dapat mengurangkan kadar kemasukan pendatang haram serta penyeludupan, bot-bot tidak berani mendarat di kampung ini,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut berharap JPNIN serta JPJKK dapat memberi sokongan dalam bentuk kewangan atau logistik untuk kemudahan anggota keselamatan komuniti serta rondaan sukarela sewaktu bertugas.

“Mereka ini penduduk yang menggunakan kenderaan, motor, isi minyak sendiri untuk membuat rondaan, ESSCom juga akan melihat keperluan lain termasuk penggunaan radio amatur ‘point to point’ kerana ada kawasan tiada rangkaian telefon,” katanya.

Sementara itu, katanya, penubuhan unit berkenaan perlu diperluaskan di semua kampung-kampung persisiran pantai di ESSZone sebagai kerjasama membantu pasukan keselamatan mencegah jenayah. – Bernama

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *