COVID-19 : Kes Jangkitan Di Sabah Kembali Menurun

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Sabah kembali merekodkan penurunan jangkitan kes COVID-19 sebanyak 691 kes hari ini selepas mencatatkan peningkatan kes beberapa hari lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah daerah yang mencatatkan penurunan adalah sebanyak 14 daerah manakala 13 daerah lagi mencatatkan peningkatan.

“Tidak ada daerah yang mencatatkan angka pada paras tiga angka, manakala sebanyak tujuh  daerah mencatatkan kes baharu pada catatan satu angka sahaja hari ini.

“Bagi bandar-bandar utama di Sabah seperti Kudat, Kota Kinabalu dan Tawau merekodkan peningkatan kes namun ianya pada margin satu angka sahaja, manakala bandar-bandar lain merekodkan penurunan kes pada hari ini,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, antara daerah yang mencatatkan peningkatan kes yang ketara ialah Kota Marudu +26 kes, Pitas +26 kes, Ranau +25 kes dan Kunak +11 kes.

Katanya, bagi daerah yang merekodkan penurunan kes yang ketara pula ialah Sandakan -39 kes, Beaufort -29 kes, Kota Belud -24 kes, Putatan -18 kes, Penampang -15 kes, Lahad Datu -13 kes, Tenom -12 kes dan Keningan -10 kes.

“Kes yang didaftarkan dalam tempoh 24 jam lalu ialah 466 kes atau 67.44 peratus daripada kumulatif harian dan selebihnya adalah kes-kes yang didaftarkan selepas dua hari keputusan diketahui.

“Daripada jumlah kes jangkitan baharu yang direkodkan hari ini, 14.62 peratus adalah daripada Kategori 1 dan 81.62 peratus adalah daripada Kategori 2,” katanya.

Katanya, bagi jumlah pesakit Kategori 3 ialah dua orang, tiga orang dalam Kategori 4 dan juga tiga orang dalam Kategori 5 manakala sebanyak 18 kes masih dalam siasatan lanjut.

“Masyarakat sekali lagi digesa untuk terus mematuhi SOP kendiri yang telah digariskan agar kawalan jangkitan baharu dapat dibendung sekalipun pelbagai sektor ekonomi dan kemudahan awam dibuka bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *