HomeUtamaOperasi Khas ESSCOM Berjaya Lumpuhkan Aktiviti Abu Sayyaf

Operasi Khas ESSCOM Berjaya Lumpuhkan Aktiviti Abu Sayyaf

Read Time:1 Minute, 31 Second

KUALA LUMPUR: Operasi khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menggagal serta melumpuhkan tujuh aktiviti kumpulan Abu Sayyaf (ASG) sepanjang tahun lalu dan tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata empat aktiviti yang berjaya digagalkan itu adalah pada tahun lalu, manakala tiga lagi aktiviti yang dilumpuhkan pada tahun ini.

Katanya, kejayaan mengekang ancaman ASG itu adalah hasil penggunaan kaedah perisikan manusia (human intelligence) yang menjadi antara aspek penting yang dititikberatkan ESSCOM bagi mengekalkan tahap pengoperasian yang tinggi.

“Kaedah ini menekankan pengumpulan maklumat daripada individu atau kumpulan sasaran tertentu melalui libat urus agensi dengan individu, kumpulan atau komuniti.

“Kaedah interaksi sosial yang dilaksanakan sekarang memberi impak positif dengan perubahan persepsi masyarakat bahawa kerajaan sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan nyawa dan harta benda rakyat di kawasan terbabit.

“Kejayaan kerajaan menggagal serta melumpuhkan empat aktiviti ASG pada 2020 dan tiga aktiviti ASG pada tahun ini membuktikan keberkesanan elemen perisikan yang dilaksanakan pada masa ini,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias yang bertanyakan tahap persediaan keselamatan ESSCOM dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dari aspek perisikan manusia bagi mengatasi ancaman pencerobohan kumpulan pengganas, terutamanya Abu Sayyaf.

Bashir kemudian bertanya soalan tambahan mengenai sejauh mana prinsip perisikan manusia diterap dalam ESSCOM dan ESZONE bagi tangani pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Menjawab soalan itu, Ismail memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited memastikan keselamatan dan kedaulatan negara, khususnya membabitkan ASG yang sentiasa memberi ancaman kepada negara.

“Kita sentiasa lakukan pemantauan perjalanan operasi di lapangan, serta jika berlaku penyelewengan dan kebocoran maklumat sama ada daripada pegawai atau mana-mana anggota, kita akan kenakan tindakan tegas.

“Saya juga ucap ribuan terima kasih kepada masyarakat setempat dan kumpulan komuniti tertentu yang sentiasa memberi maklumat sekiranya ada ancaman pencerobohan ke dalam negara,” katanya. – BH Online

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya