HomeUtamaPelajar Disaran Belajar Bidang Kemahiran Selain Akademik

Pelajar Disaran Belajar Bidang Kemahiran Selain Akademik

Read Time:1 Minute, 34 Second

KINABATANGAN: Golongan pelajar diingatkan supaya mempunyai kesedaran untuk melengkapkan diri dengan kemahiran lain tidak hanya bergantung semata-mata kepada pencapaian akademik cemerlang untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, selain pencapaian cemerlang dalam bidang akademik pelajar juga perlu memberikan tumpuan kepada bidang-bidang kemahiran yang amat diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan seiring dengan perkembangan semasa.

“Pelajar juga jangan ketepikan bidang teknik dan vokasional ini disebabkan bidang ini dapat menjadikan golongan pelajar sebagai modal insan berkemahiran tinggi, berinovasi serta mampu menghadapi cabaran alaf baharu yang relevan dengan keperluan semasa,” katanya ketika berucap merasmikan program Ceria Ke Sekolah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan baru baru ini.

Bagaimana pun menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, kelahiran golongan modal insan seperti ini menuntut kepada peningkatan bilangan pelajar dalam bidang teknik dan vokasional yang dianggap sebagai satu pilihan baharu kepada aliran pembelajaran yang sedia ada.

“ Jika pelajar kurang cemerlang dalam bidang akademik jangan mudah berputus asa bidang kemahiran merupakan pilihan terbaik yang boleh mencorak masa depan untuk mencari bidang pekerjaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu Bung berkata dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RM-12) kerajaan terus memperkasa bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion.

Menurut beliau sebanyak RM300 juta disediakan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK iaitu peningkatan RM100 juta.

“Ibubapa juga perlu memberikan galakan kepada anak-anak mereka untuk belajar dalam bidang kemahiran selain bidang akademik,” ujarnya.

Mengulas program tersebut Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag berkata kerajaan mengalu-alukan kerjasama agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memajukan modal insan melalui pendidikan di negeri ini.

Beliau berkata sinergi pihak berkaitan menerusi perkongsian idea pintar dan bantuan yang lain mampu memaksimumkan kualiti pendidikan di negeri ini.

“Agenda memberi daya insan adalah suatu usaha berterusan dan ia tidak akan berjaya sekiranya tiada kerjasama pelbagai pihak.” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular