HomeIsu tempatanRTM & Tourism Malaysia Jayakan Program TV Mansau Ansau

RTM & Tourism Malaysia Jayakan Program TV Mansau Ansau

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Radio Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak khususnya agensi kerajaan dan swasta dalam usaha menjayakan program televisyen yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Ketua Penolong Pengarah (Rancangan TV) RTM Sabah Aris Arapa berkata, ia termasuklah program membabitkan sektor pelancongan yang dekat di hati rakyat negeri ini selain menjadi punca pendapatan penduduk setempat.

“Pada kali ini Seksyen TV RTM Sabah dengan kerjasama Tourism Malaysia Sabah menerbitkan program TV baharu iaitu Mansau Ansau yang akan menayang episode ketiga pada Ahad ini.

“Antara lain, program ini akan menyelami dan menyelusuri cabaran yang dihadapi kebanyakan pengusaha pelancongan di negeri ini akibat pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu,” katanya ketika dihubungi disini semalam.

Aris berkata, inisiatif ini juga dapat membantu menjejaki dan menyuntik semangat pengusaha pelancongan yang berdaftar dengan Tourism Malaysia untuk bangkit meneruskan usaha bagi mewarnai sektor pelancongan di Sabah meskipun terjejas ekoran pandemik yang melanda dunia.

Pengambaran Mansau Ansau musim keempat dijalankan dengan norma baharu.

Katanya, meskipun berdepan cabaran pengambaran dengan norma baharu, program travelog musim keempat itu akan membawa penonton melihat lokasi menarik di Sabah yang kurang diketahui umum.

“Lokasi yang dipaparkan dijangka akan mempunyai potensi besar untuk menarik kunjungan para pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya amat berharap program TV ini akan berpotensi mempromosikan tempat-tempat menarik di Sabah terutama dalam membawa kembali sinar harapan baharu terhadap sektor pelancongan negara khususnya di Sabah pascapandemik,” katanya.

Beliau berharap, kolaborasi seumpama akan diperluaskan lagi pada masa depan bersama badan-badan bukan kerajaan mahupun swasta dalam menjayakan misi dan visi RTM sebagai badan penyiar rasmi negara dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Terdahulu, musim baharu program TV, Mansau Ansau mula ditayangkan pada setiap hari Ahad bermula 3 Oktober lalu, jam 2.30 petang di TV Okey dan mengekalkan pengacaranya musim lalu iaitu Mayon dan Alex.

Aris berkata, episod ketiga yang akan ditayangkan Ahad ini akan menampilkan lokasi pelancongan di daerah Sandakan dan dijayakan bersama Tourism Malaysia Sabah. 

“Mansau Ansau mengetengahkan daerah Kuala Penyu dalam dua episod sebelum ini dan pada Ahad ini daerah Sandakan pula mengambil tempat, sebelum Penampang diikuti dengan Lahad Datu, Tenom, Keningau, Kota Belud, Tuaran dan sebagainya.

“Sambutan setakat dua episod ini sangat menggalakkan dan kebanyakan penonton menyambut baik program tersebut kerana ingin mengetahui tempat-tempat pelancongan yang mula dibuka dan sesuai mereka kunjungi dengan mengetahui SOP yang ditetapkan.

“Malah, sambutan penonton pada episod pertama amat menggalakkan, ramai yang memberikan respon tempat yang kita paparkan tidak diketahui kewujudannya walaupun kebanyakan penonton  berasal dari Kuala Penyu.

Penerbit Mansau Ansau musim baharu, Florence John Luan turut menjanjikan suatu kepuasan dan keseronokan kepada penonton sepanjang 13 episod rancangan terbabit bersiaran menerusi Saluran 146 ASTRO dan Saluran 110 myFreeview selain turut boleh diikuti secara dalam talian menerusi aplikasi RTMKlik.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular