Bekalan Air Pulih Di Tanjung Aru, Catuan Dilaksana Tampung Permintaan Pengguna Semakin Meningkat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Isu gangguan bekalan air bersih di kawasan Tanjung Aru dan sekitar sudah diselesaikan dan bekalan pulih seperti sedia kala.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, gangguan berlaku disebabkan kejadian paip pecah di Kampung Tanjung Aru.

Katanya, selain paip pecah,turut berlaku tekanan air rendah sejak berlakunya bencana tanah runtuh di Kampung Kopungit pada awal September lalu yang menjejaskan tangki simpanan  air 5Mld mengakibatkan bekalan air turun separuh daripada  kapasiti ke kawasan Tanjung Aru.

“Bencana alam ini sukar diramal termasuklah kawasan tangki air Kopungit yang terlibat dengan runtuhan.  Bagaimanapun pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membaiki cerun terlibat dan kini dalam pelaksanaan.

Kerosakan Paip Air Pecah yang telah pun diperbaiki oleh Jabatan Air di Tanjung Aru.

“Beberapa faktor lain turut menjejaskan bekalan air bukan sahaja di Tanjung Aru malah di kawasan lain di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang khususnya ketika berlaku banjir di sungai Moyong baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru Datuk Junz Wong yang mendakwa Jabatan Air tidak melaksanakan pembaikan cerun yang menempatkan tangki simpanan air di Kopungit dan masalah gangguan air di kampung Tanjung Aru.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pihak Jabatan Air terpaksa membuat catuan air di beberapa kawasan di Kota Kinabalu dan Sekitar bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air ekoran permintaan pengguna semakin meningkat.

Katanya, kerajaan sentiasa membuat perancangan teliti berhubung bekalan air di Sabah dan perkara yang berlaku khususnya kurangnya bekalan air tidak dapat dielakkan.

“Masalah kurangnya bekalan air bukan baharu malah ianya sudah berlarutan dan semasa kerajaan Warisan memerintah perkara sama juga sudah berlaku.

“Justeru dakwaan ADUN Tanjung Aru kononnya tidak berlaku masalah air ketika Warisan memerintah adalah pembohongan,”katanya.

Bung berkata, pihaknya sedang membuat kajian untuk memperbaiki dan menyelesaikan isu bekalan air di Sabah.

“Kita sedang menunggu laporan lengkap  daripada perunding dilantik bagi menilai, memperincikan langkah holistik yang akan dilakukan dalam menangani masalah bekalan air yang sering membelenggu penduduk dan tindakan peringkat demi peringkat akan kita laksanakan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *