HomeUtamaNaiktaraf Pasar Tamu Beluran Siap Pertengahan Mei 2022

Naiktaraf Pasar Tamu Beluran Siap Pertengahan Mei 2022

Read Time:2 Minute, 40 Second

BELURAN : Projek naiktaraf Pasar Tamu di Beluran dijangka siap pada pertengahan Mei 2022 di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) berjumlah RM746,000.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penaiktarafan Pasar Tamu tersebut akan memberi manfaat kepada 170 peserta sedia ada dan sekaligus dapat memberi keselesaan kepada peserta dan pengunjung di daerah Beluran.

“Setelah siap dinaiktaraf, pentadbirannya akan diserahkan kepada Majlis Daerah Beluran. penaiktarafan Pasar Tamu ini juga akan meningkatkan pendapatan mereka sekaligus menjadi saluran pasaran produk agromakanan bagi membantu pengusaha kecil memasarkan hasil keluaran sendiri.

“Sehingga kini,  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menaiktaraf dua buah Pasar Tamu di Sabah iaitu Pasar Tamu Sook, Keningau dan Pasar Tamu Kudat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan tinjauan dan seterusnya menyempurnakan pecah tanah Projek Naiktaraf Pasar Tamu Beluran disini hari ini.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk, Samad Jambri, Ketua Pengarah FAMA Dato’ Zainal Abidin Yang Razalli dan Pengarah Bisnes Sektor Awam NAFAS Saripol Baharin Karim,

Dr Ronald berkata, bagi Pasar Tamu Kunak masih lagi di dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada Mac 2022.

Katanya, selain kerjasama dengan pihak Majlis Daerah Beluran untuk menaik taraf Pasar Tamu, pihak FAMA juga dalam proses membangunkan sebuah Medan Gerai Buah-Buahan Segar di kawasan ini.

Tambahnya, projek menaiktaraf Pasar Tamu adalah sebahagian daripada program pengukuhan rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak dengan matlamat untuk mentransformasikan Pasar Tamu tanpa menghilangkan identiti keunikannya.

“Dalam tempoh RMKe-11, MAFI melalui FAMA memperuntukkan RM9.5 juta untuk membangunkan program Pengukuhan Rangkaian Peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak bermula tahun 2016.

“Sehingga September 2021, sembilan lokasi Pasar Tamu telah dinaiktaraf iaitu empat lokasi Pasar Tamu telah beroperasi, manakala lima lokasi Pasar Tamu masih di peringkat pembinaan termasuk Pasar Tamu Beluran,” katanya.

Katanya, di bawah RMKe-12, FAMA telah mengenalpasti tapak Pasar Tamu Tuaran di Sabah sebagai lokasi untuk dinaiktaraf pada tahun 2022 yang juga telah mendapat persetujuan daripada pihak Majlis Daerah Tuaran.

“Pembangunan Pasar Tamu ini merupakan sebahagian daripada fungsi FAMA dalam memperkasakan pemasaran hasilan pertanian melalui pembangunan outlet pemasaran kekal bagi memudahkan urusan antara usahawan dan pengunjung serta pihak berkuasa tempatan.

“Pembangunan outlet pemasaran kekal sebegini oleh FAMA adalah penting dan keberkesanannya juga dapat dilihat semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana outlet-outlet ini telah dibenarkan beroperasi sebagai ‘Pasar Segar Terkawal’ (PST) mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh MKN bagi memastikan kelangsungan bekalan dan mempercekapkan pengedaran makanan negara,” katanya.

Pada masa yang sama, memandangkan tiada lagi negeri berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik sebelum ini, maka Pasar Tani di seluruh negara juga dapat beroperasi semula.

Menurut Dr Ronald, setakat ini sebanyak 208 daripada 312 Pasar Tani di seluruh negara telah mula beroperasi dan selebihnya akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini dengan mengadaptasi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pembukaan semula semua Pasar Tani sahaja di seluruh negara akan memberi manfaat kepada lebih 9,000 usahawan yang dijangka mampu menjana nilai jualan sehingga RM110 juta serta memberi peluang kepada 2.5 juta pelanggan mendapatkan produk agromakanan yang ditawarkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Program ‘Education For Us’ mampu perkasa peranan PIBG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya