Penggiat Seni Visual Digalak Terus Berkarya

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Penggiat seni visual di Sabah digalakkan untuk terus berkarya dengan penuh kreatif dan inovatif agar dapat mengukir nama di persada antarabangsa.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, bukan mudah untuk menjadikan karya seni sebagai sumber hidup terutama dalam pandemik yang melanda negara.

“Ia memerlukan semangat yang tinggi dan perlu mencari alternatif dalam menjana pendapatan sampingan menerusi saluran lain. 

“Namun begitu, dengan kadar vaksinasi di Sabah yang mencapai 80 peratus, diharapkan kerajaan akan memberi peluang untuk membenarkan aktiviti persembahan seni,” katanya.

Tun Juhar menyatakan demikian dalam Majlis Anugerah dan Pameran Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah Ke-36 sempena sambutan hari jadi rasminya ke-68 yang diadakan secara maya melalui laman media sosial rasmi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dan Balai Seni Lukis Sabah (BSLS), disini semalam.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, meski berhadapan dengan kekangan pandemik COVID-19, program seumpama ini masih relevan sebagai wadah kepada pengkarya tempatan mempamerkan bakat mereka.

“LKNS telah menaik taraf perkhidmatan BSLS melalui pembangunan aplikasi lawatan alam maya menerusi platform ‘virtual exhibition.

“Justeru, kita berharap penglibatan dan apresiasi masyarakat terutama anak muda dipergiatkan lagi sebagai perintis kemajuan seni visual di Sabah,” katanya.

Bertemakan Gunung Kinabalu dan Sabah Norma Baharu, sebanyak tiga kategori dibuka bagi penghantaran karya iaitu kategori A bagi peringkat sekolah rendah, kategori B bagi sekolah menengah dan kategori C bagi penyertaan terbuka.

Karya pilihan utama bagi kategori A disandang oleh At Tirmizie Ag Ahmad dengan tajuk karya, “Pakai Mask”, sementara kategori B jatuh kepada Moris Dexter Mitanis melalui karya bertajuk “Suasana Sempit Dalam Kereta Api Semasa Norma Baharu.”

Tokoh Seni Kraf Sabah dianugerahkan kepada Dainsing Darum sebagai Pengkraf Terakhir Murut Tangala, manakala Penghargaan Khas Penyertaan Peserta Sekolah Terbanyak dimenangi oleh Bahagian Pantai Barat Utara, SMK Kota Marudu dengan 101 penyertaan. 

Acara tahunan anjuran BSLS yang dipengerusikan LKNS di bawah naungan Tuan Yang Terutama itu menerima penyertaan sebanyak 468 pengkarya melibatkan 514 hasil karya pada tahun ini./Penerangan-

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.