Penerima Vaksin CanSino Boleh Masuk Premis Perniagaan Selepas Sebulan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Penerima vaksin COVID-19 dos tunggal jenis Cansino dibenarkan memasuki premis-premis perniagaan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata,  penerima perlu melepasi tempoh masa yang ditetapkan daripada tarikh menerima vaksin.

“Vaksin jenis Cansino ini adalah vaksin jenis dos tunggal. Ianya bersamaan dengan vaksin jenis dua dos yang lain dan tiada halangan bagi mereka yang menerima vaksin jenis dos tunggal untuk masuk ke mana-mana premis perniagaan atau untuk melakukan urusan.

“Tetapi ianya mestilah selepas 28 hari dari tarikh mereka mendapatkan vaksin jenis Cansino,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Shahelmey yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah berkata, usaha pemberian vaksin kepada orang ramai akan tetap diteruskan meskipun beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah telah ditutup.

Jelasnya, tidak ada soal masalah untuk mendapatkan vaksin.

“Walaupun beberapa PPV telah ditutup, terdapat 16 buah PPV lagi yang masih dibenarkan beroperasi di kawasan-kawasan yang masih memerlukan.

“Bagi kawasan yang sudah tidak mempunyai PPV, pemberian vaksin akan dilakukan di klinik-klinik kesihatan yang berdekatan,” katanya.

Shahelmey juga mengingatkan orang ramai agar terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak dijangkiti virus Covid-19.

“Dengan peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik ini, saya ingin mengingatkan orang ramai untuk tetap mematuhi SOP yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *