Pengguna Diingatkan Waspada Dengan Individu Menyamar Sebagai Pekerja SESB

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengingatkan pengguna supaya berwaspada dengan individu yang menyamar sebagai pekerja SESB untuk membuat pemeriksaan sistem pendawaian dalaman premis dan mengutip bayaran perkhidmatan daripada orang awam.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir Idris Mohd Noor berkata kerja pendawaian dalaman premis hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang mempunyai sijil pendawaian dan kompeten dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga.

Beliau menjelaskan bahawa SESB hanya melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja menanggalkan meter elektrik bagi akaun yang telah ditutup dan skop kerja tersebut tidak termasuk menanggalkan pendawaian dalaman premis pengguna.

“Kita juga mengingatkan pengguna bahawa ketika ini kerja pendawaian dalaman tidak termasuk dalam skop kerja senggaraan SESB,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata demikian mengulas kepada satu mesej yang ditularkan melalui aplikasi Whatsapp berhubung sekumpulan lelaki menyamar sebagai anggota kerja SESB memasuki premis pengguna di bandaraya Kota Kinabalu dam memaklumkan kepada mereka mengenai kerosakan pendawaian elektrik mereka.

“Penyamar turut memaklumkan pemilik premis untuk segera membuat pembayaran di pejabat SESB di Asia City bagi tujuan menukar meter dan kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan bekalan elektrik mereka dipotong,” Idris berkata.

Katanya, urusan pembayaran perkhidmatan SESB hanya boleh dibuat di kaunter SESB di semua pejabat SESB dan warga kerja SESB tidak dibenarkan menerima sebarang bayaran berbentuk tunai walaupun bagi pihak syarikat.

Sehubungan itu, katanya pengguna perlu menghubungi polis jika mereka didatangi individu yang mencurigakan dan meminta bayaran bagi sebarang perkhidmatan berkaitan dengan pendawaian dalaman atau kerja pembaikan kotak jangka di premis.

Pengguna turut dinasihati untuk menghubungi SESB Careline 15454, 088- 515000 sekiranya berhadapan dengan situasi seumpama ini bagi mendapatkan kepastian selanjutnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *