KESUMBA Perlu Terus Beri Fokus Kepada Pemerkasaan Wanita

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU : Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) diharap akan terus memberikan fokus kepada pemerkasaan wanita dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan dan ekonomi.

Penaung KESUMBA, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni berkata, ia selaras dengan matlamat penubuhan KESUMBA yang sentiasa relevan dan dirasai oleh masyarakat.

“Saya berharap kewujudan KESUMBA ini akan sentiasa relevan dan dirasai oleh masyarakat serta akan terus menyumbang bukan sahaja kepada pembangunan wanita, malah kepada ahli keluarga dan masyarakat.

“Ini kerana wanita merupakan tulang belakang dan mempunyai peranan yang amat penting dalam pembangunan bukan sahaja keluarga tetapi juga dalam sesebuah organisasi. Pepatah Melayu yang amat signifikan dengan peranan wanita “tangan yang menghayun buaian mampu mengoncang dunia”, perlu diterapkan dalam diri setiap wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan ulang tahun ke-25 KESUMBA secara dalam talian disini hari ini.

Majlis sambutan Jubli Perak KESUMBA diadakan secara atas talian adaptasi norma baharu

Katanya, golongan wanita perlu terus berganding bahu dan memberikan yang terbaik untuk keluarga, organisasi dan masyarakat tanpa mengira tahap pendidikan mahupun peringkat kerjaya.

“Kita membina kekuatan, kejayaan dan kecemerlangan dalam setiap aspek kehidupan bukan untuk bersaing dengan kaum lelaki, tidak sama sekali tetapi kita lakukan apa yang kita suka dan cinta untuk lakukan demi keluarga, demi apa yang kita cintai namun pangkat serta gelaran merupakan bonus bagi kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji komitmen warga KESUMBA dalam menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam, ibu dan guru kepada anak-anak sepanjang tempoh pandemik, tanpa menjejaskan peranan dalam melaksakan aktiviti kemasyarakatan.

“Saya menyeru agar semua ahli KESUMBA agar sentiasa bersatu hati dalam apa juga keadaan, saling menyokong, berkasih sayang, bermusyawarah agar objektif yang digariskan dalam melaksanakan sesuatu aktiviti mencapai matlamat dan merealisasikan matlamat kelab yang telah diwujudkan sejak tahun 1996,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin turut berharap agar seluruh ahli KESUMBA terus bergerak sebagai satu pasukan yang mantap, berintegriti dan saling bantu-membantu dalam merealisasikan matlamat penubuhan KESUMBA.

“Saya akui amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap Yang Dipertua dan barisan Exco yang dilantik untuk membawa matlamat penubuhan KESUMBA amat berat sekali lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik COVID-19 ini,”katanya.

KESUMBA dalam majlis sama turut  melancarkan Coffee Table Book bertajuk “Dirgahayu KESUMBA Meniti 25 Tahun, Maju Sehati Mengukir Jasa” yang diterbitkan bersempena sambutan jubli perak KESUMBA pada 19 Oktober 2021.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *