Semua Pemimpin Masyarakat Diseru Bantu Pastikan Penduduk Patuh SOP

Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Semua pemimpin masyarakat diperingkat akar umbi diseru untuk turut membantu memastikan penduduk setempat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia penting bagi memastikan penduduk setempat berada dalam keadaan sihat selain berupaya mengurangkan jumlah jangkitan harian.

“Saya menyeru kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ketua Kampung dan pemimpin-pemimpin akar umbi lain membantu Kerajaan memastikan semua penduduk mematuhi SOP di kampung masing-masing.

“Pada hari ini tidak banyak perubahan situasi jangkitan COVID-19 di Sabah berbanding semalam. Jumlah kes hari ini ialah 641, penurunan kecil 10 kes,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Katanya, lebih membimbangkan ialah kes2 sporadik yang semakin meningkat. Hari ini 41.3% daripada jumlah kes adalah kes-kes yang berlaku secara sporadik, pembawa virus tidak diketahui dan tempat jangkitan juga tidak dapat dipastikan.

“Lazimnya kes-kes sporadik berlaku di tempat awam atau khalayak ramai dan kelalalaian mengutamakan pematuhan SOP,” jelasnya.

Masidi turut mengingatkan kepada orang ramai bahawa vaksin tidak memberi perlindungan 100% daripada jangkitan. Malah tidak ada vaksin untuk apapun penyakit yang memberi jaminan imuniti 100%.

“Ini dapat diperhatikan semakin ramai mereka yang telah memperolehi vaksin lengkap dijangkiti virus Covid. Cuma hampir keseluruhan mereka ini hanya mengalami gejala ringan ataupun tidak mengalami sebarang simptom.

“Kesimpulannya ramai diantara mereka ini mungkin sudah lalai mematuhi SOP kerana berandaian vaksin memberi perlindungan 100% daripada jangkitan. Sebagai ingatan mereka yang sudah memperolehi vaksin tidak terkecuali daripada mematuhi semua SOP bagi melindungi diri daripada jangkitan,”ujarnya.

Dalam pada itu, Daerah Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes yang paling tinggi hari ini dengan 70 kes, peningkatan 23 kes berbanding semalam. Tetapi adalah juga diperhatikan bahawa 63 daripada 70 kes di Kota Kinabalu adalah kes-kes lewat daftar dua hari atau lebih setelah keputusan saringan diketahui.

Manakala di Tenom cuma satu kes berlaku sepanjang 24 jam yang lalu, sementara 33 kes lagi adalah kes-kes lewat daftar dua hari atau lebih. 26 daripada 51 kes di Lahad Datu juga merupakan kes lewat daftar. Secara keseluruhan 274 (42.7%) daripada 641 kes hari ini adalah kes-kes yang lewat didaftar dua hari atau lebih lama.

Namun, kes-kes melalui saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang utama kepada jumlah kes harian di Sabah dan hari ini 312 kes atau 48.7%. Tetapi seperti yang dinyatakan lebih awal, kes-kes melalui saringan bergejala (sporadik) semakin bertambah, dan hari ini 265 kes atau 41.3%. Ini satu isyarat kepada masyarakat agar melipatgandakan usaha menjaga kesihatan diri serta mematuhi semua SOP. Setiap daripada kita sudah menjadi ‘frontliners’.

Walau bagaimanapun, daripada 641 kes yang dilaporkan hari ini, 62 orang adalah dalam Kategori 1, 557 orang atau 86.9% dalam Kategori 2, empat orang dalam Kategori 3, satu orang dalam Kategori 4 dan tiga orang dalam Kategori 5. 14 kes lagi masih dalam siasatan dan penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *