MAFI & KPDNHEP Bincang Isu Kenaikan Harga Barangan Makanan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

JOHOR BAHRU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu kenaikan harga barangan makanan yang dilaporkan di seluruh negara. 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kerjasama kedua-dua kementerian berkenaan dilihat salah satu cara bagi mengawal harga produk makanan di negara ini. 

Katanya, perbincangan yang turut melibatkan penggiat industri itu perlu diadakan bagi mengesan punca masalah terbabit berlaku selain mencari jalan penyelesaian agar pengguna tidak lagi terkesan.

Jelasnya, perbincangan bersama KPDNHEP itu penting kerana kementerian itu yang dipertanggungjawab menetapkan harga siling dan memantau harga barangan makanan di seluruh negara.

“Kerjasama bersama KPDNHEP ini membuahkan hasil pada bulan lalu ketika harga ayam melebihi harga siling. Masalah kenaikan harga barangan kawalan itu telah dikawal.

“Kita mempunyai ruang perbincangan bersama untuk melihat masalah kenaikan harga produk makanan buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor, di sini hari ini. 

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, harga hampir semua barang membabitkan makanan dan binaan meningkat antara 15 hingga 50 peratus sebaik aktiviti rentas negeri dibuka pada 11 Oktober lalu.

Ujar beliau, dari segi makanan, peningkatan tersebut dikesan berdasarkan kajian CASSA di seluruh negara khasnya di kawasan-kawasan pelancongan yang tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan orang ramai khususnya peniaga yang mahu meraih semula kewangan mereka selama tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada faktor kekurangan bekalan menyebabkan harga barangan naik, Ronald menafikan perkara tersebut menjadi faktor kepada perkara itu berlaku. 

“Dari segi bekalan, saya tak rasa ada masalah dilaporkan. Walaupun negara berdepan pandemik Covid-19, kita tidak pernah hadapi masalah kekurangan bekalan malah ada tempat yang berlaku lambakan,” katanya.

Terdahulu, beliau membuat tinjauan ke Pasar Tani Datin Halimah di Larkin sebelum meninjau Aktiviti Rantaian Pengeksportan Produk Pertanian Segar Malaysia Ke Singapura di FAMA Johor.

Turut bersamanya ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli. – UTUSAN ONLINE

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *