Maritim Malaysia Tahan Bot Nelayan Vietnam Kaut Hasil Laut Negara

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

KUDAT : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh dan mengambil hasil laut negara dalam satu operasi di perairan negeri ini semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, menerusi Op Pluto Timur, bot peronda Zon Maritim Kudat mengesan sebuah bot nelayan asing yang mencurigakan di perairan Kudat sekitar 8 pagi semalam.

“Berdasarkan struktur fizikal,anggota bertugas mengesyaki bot berkenaan adalah bot nelayan asing Vietnam dan terus melakukan pemintasan bagi pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tanpa sebarang nombor pendaftaran itu dikendalikan tujuh kru termasuk tekong warga Vietnam berusia antara 35 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Boon berkata, bot terbabit ditahan pada jarak sekitar tujuh batu nautika timur laut dari Pulau Tigabu Pitas bersama 3,000 liter bekalan diesel; hasil gamat serta peralatan menangguk gamat.

Katanya, kesemua mereka bersama bot diiringi ke Jeti Maritim Kudat untuk siasatan lanjut manakala anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM500,000. 

“Bot terbabit menggunakan sebuah peralatan yang direka khas untuk mengambil gamat diperbuat daripada besi yang sangat berat dan ianya mampu memecahkan batu-batu karang didasar laut ketika ditunda.

“Ianya merupakan peralatan yang tidak dibenarkan serta tidak digunakan oleh nelayan-nelayantempatan.

“Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan,tekong boleh dikenakan denda sebanyak RM6 juta manakala kru atau awak-awak sebanyak RM600ribu setiap seorang serta bot yang disita boleh dilucuthak.

“Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku dilaut boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia ditalian 088-611858 (PusatOperasi Kudat) dan talian MERS999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *