Dr Yusuf Kekal ADUN Sindumin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Dr Yusuf Yacob masih kekal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin meskipun mengumumkan meninggalkan parti itu 8 Oktober lalu.

Perkara itu disahkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M.Yahya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Kadzim berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan dokumen-dokumen yang telah dikemukakan kepada beliau selain mesyuarat yang dijalankan pada 11 Oktober lalu.

“Bagi menentukan status kerusi DUN Sindumin, saya berpandukan oleh dokumen-dokumen yang telah dikemukakan kepada saya, mesyuarat yang dijalankan pada 11 Oktober lalu, undang-undang seperti yang ada sekarang.

“Saya juga berpandukan kepada kes ADUN Sebatik Hassan A Gani yang hampir sama faktanya dengan isu yang dihadapi sekarang,” katanya.

Pada 8 Oktober lalu, ADUN Sindumin Datuk Dr. Yusuf Yacob menyatakan secara rasmi telah meninggalkan WARISAN dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Kadzim berkata, ekoran dari pengumuman itu, ADUN Sindumin telah menghubungi beliau pada hari sama dan meminta mengadakan pertemuan seterusnya satu  perjumpaan diadakan pada 11 Oktober lalu.

“Dalam pertemuan itu, beliau (Dr Yusuf) telah mengemukakan kepada saya suatu Akuan Berkanun yang menyatakan antara lain bahawa dia membatalkan semua janji yang dibuat dengan Parti Warisan Sabah sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 yang lalu. Ia termasuk jika ada janji bagi mengosongkan kerusi DUN Sindumin sekiranya beliau meninggalkan Parti Warisan Sabah.

“Selepas itu, pada 15 Oktober lalu, saya telah menerima surat dari firma guaman yang mendakwa bahawa Datuk Dr. Yusuf Yacob melantik mereka.

“Antara yang disertakan dengan surat tersebut adalah surat peletakan jawatan yang kononnya ditandatangani oleh ADUN Sindumin yang bertarikh 8 Oktober 2021,” katanya.

Berikutan itu, Kadzim berkata, ADUN Sindumin Datuk Dr Yusuf Yacob menafikan dakwaan surat peletakan jawatan itu dan mengemukakan satu lagi Akuan Berkanun bertarikh 16 Oktober 2021.

Katanya, Akuan Berkanun itu menyatakan bahawa beliau tidak pernah menandatangani peletakan jawatan tersebut yang bertarikh 8 Oktober seperti yang dikemukakan oleh firma perundangan dan bahawa dia telah meletakkan jawatannya ADUN Sindumin melalui surat peletakan jawatan tersebut.

“Saya telah menerima tiga dokumen dari ADUN Sindumin Datuk Dr.Yusof Yacob dan dua dokumen dari Parti Warisan Sabah atau ejennya.

“Oleh itu, berdasarkan perkara di atas, walaupun Datuk Dr. Yusuf Yacob bukan lagi ahli parti politik, iaitu Warisan, kerusi DUN Sindumin tidak kosong ketika beliau mengisytiharkan untuk meninggalkan Parti Warisan pada 8 Oktober 2021.

“Oleh itu, Datuk Dr Yusuf Yacob masih lagi menjadi ADUN bagi DUN N.35 Sindumin,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *