Program Malaysia Book Of Records Mempromosikan Budaya Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri Sabah Datin Seri Juliah Salag, menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Orkestra Muzik Bambu Tamparuli Sabah (OMBAK) di kediaman rasmi Ketua Menteri, Rumah Yayasan Sabah, di sini pada Isnin.

Kunjungan hormat oleh ahli majlis tertinggi (AMT) OMBAK itu diketuai Timbalan Presidennya, Stanley Missun.

Antara tujuan kunjungan hormat itu adalah untuk memaklumkan kepada isteri Ketua Menteri mengenai pelaksanaan program untuk dimasukkan dalam The Malaysia Book Of Records iaitu `Longest Non-Stop Facebook Live Broadcasting Talent Performance’ selama 24 jam, pada 4 November hingga 5 November ini.

Selain itu, juga untuk menjemput isteri Ketua Menteri sebagai tetamu kehormat majlis berkenaan yang diadakan secara langsung menerusi Facebook.

Juliah turut merakamkan tahniah dan syabas kepada OMBAK atas inisiatif menganjurkan program itu sekali gus untuk dimasukkan dalam The Malaysia Book Of Records.

“Program ini akan mempamerkan atau mempromosikan budaya kita di Sabah kepada seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Stanley berkata antara pengisian dalam program itu ialah persembahan muzikal bambu, bercerita, memasak dan gurindam.

“Program `Longest Non-Stop Facebook Live Broadcasting Talent Performance’ ini adalah anjuran OMBAK dengan Majlis Belia Sabah, bermula jam 2 petang pada 4 November ini,” katanya.

Turut hadir ialah AMT OMBAK iaitu Wendy Guntarik, Lotipa Kilus, Nazir Daniel dan Anita Adus.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *