HomeIsu tempatanSinergi Inovasi UMS-Industri Hasil Dana MOSTI Atasi Isu Air Bersih Penduduk Kiulu

Sinergi Inovasi UMS-Industri Hasil Dana MOSTI Atasi Isu Air Bersih Penduduk Kiulu

Read Time:2 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Projek Bekalan Air Graviti Bersih dan Terawat Mudah Alih di Kampung Rungus Nahaba, Kiulu, Tuaran hasil sinergi inovasi penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan rakan industri dari Syarikat Pembinaan Kiawayan Sdn. Bhd. (PKSB) membantu penduduk di kampung itu menikmati bekalan air bersih yang boleh terus diminum.

Projek hasil dana dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui geran Malaysia Social Innovation (MySI) itu dilaksanakan selama tujuh bulan dengan penglibatan gotong-royong bersama penduduk kampung, dan telah mula beroperasi sejak Julai lalu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, projek di kawasan tersebut yang melibatkan inovasi teknologi kejuruteraan dan inovasi sosial membolehkan bekalan air disalurkan ke 30 buah rumah di kampung tersebut.

“Dari aspek kejuruteraan, teknologi membran dan graviti diaplikasikan agar bekalan air dikumpulkan dan ditapis sehingga boleh diminum terus dari paip air, dan kualiti inovasi sebeginilah yang UMS giat usahakan untuk dibawa kepada masyarakat di negeri ini.

“Selain aspek teknikal, inovasi kedua yang penyelidik UMS ketengahkan adalah dengan mewujudkan satu sistem untuk penduduk tempatan melalui pengwujudan jawatankuasa pengurusan dalam kalangan penduduk kampung.

“Ini bagi memperkasakan mereka dari segi kemahiran untuk mengendalikan peralatan yang mesra pengguna agar teknologi yang dihasilkan lebih lestari dan komuniti terlibat boleh menerima teknologi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Pemindahan Ilmu Projek Bekalan Air Graviti Bersih Kg. Rungus Nahaba baru-baru ini.

Ramzah turut memaklumkan UMS sememangnya sedang giat melaksanakan aktiviti pemindahan ilmu dan teknologi kepada masyarakat seperti projek di Kampung Rungus Nahaba, dan perkara tersebut turut menjadi keutamaan dalam agenda penyelidikan di UMS dalam tempoh dua tahun ini.

“Sains, Teknologi dan Inovasi merupakan pemacu sosioekonomi dan penyelesaian terhadap pelbagai masalah komuniti di negeri Sabah, selain turut merupakan game changer dalam pelbagai aspek di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya dan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Justeru, projek inovasi sebegini yang UMS banyak berkolaborasi dengan pelbagai pihak demi manfaat masyarakat, dan UMS juga melaksanakan projek seumpama di daerah Pitas tetapi dengan teknologi yang berbeza,” kata Ramzah.

Dalam pada itu, Ketua Projek, Profesor Madya Ts. Dr. Gaim James Lunkapis memberitahu, terdapat tiga inovasi utama yang diperkenalkan dalam projek tersebut, iaitu inovasi pengambilan sumber bekalan air, inovasi aliran graviti, dan rumah tapisan teknologi hijau.

“Inovasi ini tidak langsung menggunakan kuasa elektrik, sebaliknya hanya bergantung kepada kuasa aliran graviti secara semula jadi.

“Teknologi ini boleh digunakan di mana-mana kawasan luar bandar yang tidak memiliki bekalan tenaga elektrik, dan tenaga solar juga boleh digunakan untuk mengambil air di bawah tanah,” katanya.

Ujar Gaim, projek itu merupakan sumbangan UMS untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih khususnya di luar bandar yang tidak menerima bekalan air atas faktor kekangan sumber kewangan dan lokasi kawasan agak jauh yang secara konvensional akan menelan kos tinggi bagi melaksanakan sistem perpaipan biasa.

Perasmian projek tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersilan UMS, Prof. Madya Dr. Jidon Janaun.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Sambutan Pesta Kaamatan daerah Tuaran bermula 4 Mei ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya