SAFA Sumbang RM5,000 Kepada Azah Azrin

Read Time:1 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada bekas pemain negeri, Azah Azrin yang sedang sakit ketika ini akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Naib Presiden SAFA, Datuk James Wong mewakili Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyerahkan sumbangan itu kepada Azah di kediamannya semalam.

Turut diserahkan kepada beliau ialah wang hasil kutipan sebanyak RM2,400 perlawanan persahabatan amal antara SAFA Officials dan Ex-Sabah di Stadium Likas, Sabtu lalu.

Hadir sama ialah Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar dan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.

Azah, 71, pernah menjadi penolong jurulatih skuad Sabah pada 1995-1996, jurulatih skuad Piala Borneo pada 1986 dan jurulatih skuad Piala Presiden Sabah pada tahun 1990-an.

Ketika ditemui Azah memberitahu, dia bermain bersama pasukan Sabah selama 21 tahun sehinggalah terpaksa berehat disebabkan kecederaan di pergelangan kaki kirinya.

“Saya bermain dengan Sabah sejak berusia 18 tahun dan terpaksa menggantung kasut pada tahun 1981 akibat kecederaan di kaki,” katanya.

Menurut bekas pemain tengah itu, dia juga pernah dihantar oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama rakan-rakan ke Brazil untuk mengikuti program kejurulatihan di negara tersebut.

Katanya, hanya dia dan arwah Mohd Ali Hassan dari Sabah terlibat dalam program tersebut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *