HomeIsu tempatanUMS Sambut Baik Bajet 2022

UMS Sambut Baik Bajet 2022

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik pengumuman Bajet 2022 yang dibentang oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat Jumaat lalu.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Chm. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur dan Sejahtera” itu turut disifatkan sebagai komprehensif, inklusif dan berkebajikan.

Katanya, bajet itu juga dilihat mampu membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan oleh pandemik COVID-19 dan meletakkan Malaysia di landasan yang betul ke arah pemulihan ekonomi dan sosial.

“Saya yakin, Bajet 2022 yang diumumkan menggambarkan komitmen kerajaan untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara dengan menyediakan bantuan jangka pendek dan sederhana kepada individu dan perniagaan.

“Selain itu, bajet ini juga tidak mengenepikan kepentingan pembangunan masa hadapan khususnya pemerkasaan modal insan melalui pertambahan peruntukan untuk pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D)”, katanya.

Dr. Taufiq berkata, komitmen kerajaan terhadap pendidikan juga ditunjukkan melalui pelbagai bantuan seperti inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.

Katanya, bantuan itu dijangka melibatkan perbelanjaan lebih RM500 juta dan memanfaatkan seramai 600 ribu pelajar, serta insentif yang diberikan kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan bagi menyediakan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.

Beliau turut menyambut baik peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan Negeri Sabah dan Sarawak.

“Peruntukan ini boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan kajian dan aktiviti yang boleh membantu memelihara dan mengembangkan lagi khazanah budaya dan warisan Sabah dan Sarawak yang semakin kurang diamalkan terutama di kalangan generasi baharu.

“Melalui Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), UMS bersedia membantu mana-mana agensi, persatuan atau orang perseorangan dalam usaha tersebut.”, katanya.

Dari segi R&D, Taufiq berkata peruntukan lebih tinggi sebanyak RM423 juta untuk tujuan R&D yang diberikan kepada MOSTI dan KPT pada tahun ini menggambarkan sokongan kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pemodenan negara melalui inovasi dalam bidang sains dan teknologi. 

“Justeru itu, UMS amat komited untuk meningkatkan inovasi di universiti yang terbukti dengan adanya sebanyak 141 projek inovasi yang sedang diusahakan di UMS sekarang,” ujar beliau.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PSI Universiti Oxford, UMS catat sejarah jalin kerjasama dalam penyelidikan pandemik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular