Sabah Beralih Ke Fasa 4 PPN Isnin Ini, 554 Kes Baharu COVID-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU : Sabah akan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata demikian menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Katanya, masyarakat di negeri ini perlu terus mematuhi prosedur standard operasi (SOP) meskipun Sabah akan beralih ke Fasa 4 PPN.

“Meskipun banyak sekatan yang ditarik balik di bawah Fasa 4 PPN, masyarakat diingatkan untuk terus mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, jumlah kes jangkitan COVID-19 di Sabah hari ini turun 101 kes berbanding jumlah semalam menjadikan jumlah kes terbaru ialah 554 kes.

Katanya, lebih banyak daerah mencatatkan penurunan kes daripada daerah yang mencatatkan pertambahan kes.

“Kota Kinabalu merekodkan pertambahan kecil dan daerah yang mencatat jumlah kes paling tinggi iaitu 76 kes di Sabah hari ini.

“Walau bagaimanapun 72 daripada kes tersebut adalah kes-kes daftar lewat antara dua hingga tiga hari selepas keputusan saringan diketahui dan empat kes lagi melebihi tiga hari,” katanya.

Katanya, bagi keseluruhan negeri Sabah 303 kes atau 54.7 peratus adalah kes yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Lebih daripada 97 peratus daripada 554 kes hari adalah kes-kes yang dianggap ‘kes ringan’ yang tidak memerlukan rawatan di hospital, 101 orang dalam Kategori 1 dan 438 orang dalam Kategori 2.

“Mereka dalam kategori 3, 4 dan 5 kekal rendah; Kategori 3, 4 orang, Kategori 4, 2 orang dan Karegori 5, juga 2 orang. Sebanyak 7 kes lagi masih dalam siasatan lanjut JKNS,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *