HomeUtamaPan Borneo Sabah Ulangi Kejayaan Projek Lebuh Raya Di Semenanjung

Pan Borneo Sabah Ulangi Kejayaan Projek Lebuh Raya Di Semenanjung

Read Time:2 Minute, 28 Second

Oleh : ERDIE AB WAHID
[email protected]

KINABATANGAN : Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang merupakan hasrat Kerajaan Persekutuan adalah bagi mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya di Semenanjung.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rangkaian jalan raya yang baik mampu melonjak potensi pertumbuhan dan memberi limpahan transformasi pembangunan luar bandar.

“Kerajaan yakin Projek Lebuhraya Pan Borneo ini bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi.

“Ia termasuklah kawasan pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur: Kinabatangan – Sandakan- Beluran- Telupid disini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah itu membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian infrastruktur jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien buat penduduk di Sabah.

Katanya, ia sekaligus memastikan pembangunan sosioekonomi yang lebih baik dan dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini, selari dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’.

“Projek ini melibatkan kerja-kerja menambah baik jaringan jalan raya sedia ada secara berfasa dari Sindumin ke Kudat, Ranau ke Sandakan dan seterusnya ke Tawau.

“Antara lain, ia turut melibatkan pembinaan jalan baru dan naik taraf bagi Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 706km yang dibahagikan kepada 35 Pakej Kerja,” katanya.

Katanya, Pakej Kerja 28, 29 dan 30 yang merentasi daerah Kinabatangan, Sandakan, Beluran  dan Telupid sepanjang 58km, yang merangkumi tiga Pakej Kerja berjumlah RM877 juta merupakan tambahan kepada 11 Pakej Kerja yang telah dimulakan pembinaan seawal tahun 2016.

“Skop pembinaan tiga Pakej Kerja ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan sedia ada dari dua lorong ke empat lorong dari Sandakan Mile 32 ke Sungai Baoto.

“Ini turut melibatkan pembinaan satu persimpangan bertingkat di Sapi Nangoh, dan tiga jambatan di Sungai Monyet, Sungai Muanad dan Sungai Manduring.

“Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada bulan ini dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun iaitu pada bulan Oktober 2024,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan meneruskan pakej-pakej pembangunan dalam memastikan pembangunan Negeri Sabah dapat diteruskan dan manfaat dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini.

Katanya, kerajaan turut membuka ruang penglibatan untuk rakyat tempatan Sabah sepenuhnya.

“Ada yang telah dilantik sebagai perunding, pembekal mahu pun kontraktor serta mencipta peluang pekerjaan buat Keluarga Malaysia di Sabah.

“Selain itu ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan Sabah juga telah dapat dilahirkan dan secara langsung memberi sumbangan kepada pembangunan Negeri Sabah khususnya, sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi tempatan,”katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, hasil perancangan yang rapi dan bersifat holistic antara

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melalui Highway National Development Planning (HNDP), projek itu bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sabah Economic and  Development Authority (SEDIA) untuk membolehkan Negeri Sabah mencapai taraf negeri maju.

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular