HomeUtamaSabah Perlu Lebih Banyak Peruntukan Pembangunan

Sabah Perlu Lebih Banyak Peruntukan Pembangunan

Read Time:2 Minute, 30 Second

Oleh : ERDIE AB WAHID
[email protected]

KINABATANGAN : Sabah memerlukan lebih banyak peruntukan pembangunan berbanding RM5.2 bilion seperti yang diumumkan menerusi Bajet 2022.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini kerana dana yang besar setiap tahun amat diperlukan bagi melaksanakan pembangunan infrastuktur berkaitan air, jalan raya, jambatan dan elektrik.

Katanya, saiz negeri ini yang besar juga perlu diambil kira dengan akses bekalan air bersih, jalan raya, sekolah dan elektrik agak jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

“Selain pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah sebenarnya dari sudut keperluan pembangunan terutamanya dalam infrastruktur asas seperti jalanraya,bekalan air bersih, elektrik, sekolah, kesihatan dan perkhidmatan jalur lebar Sabah masih jauh ketinggalan berbanding dengan lain-lain negeri.

“Mungkin ramai menilai kenyataan media ketika saya memberikan ulasan berhubung dengan Bajet 2022 yang yang dibentangkan di dewan rakyat baru baru ini dari persepsi yang berbeza seolah-olah saya bercakap seperti pembangkang.

“Namun hakikatnya, Sabah memang memerlukan lebih banyak peruntukan dari yang diumumkan dalam bajet tersebut iaitu sebanyak RM5.2 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sempena pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur: Kinabatangan – Sandakan- Beluran- Telupid disini hari ini.

Pelancaran projek itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Kurup.

Bung berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri  ketika ini yang beteraskan konsep “Keluarga Malaysia” akan melihat keperluan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

“Kerana itu kita mengharapkan bajet pembangunan yang lebih tinggi untuk negeri Sabah bagi mengimbangi kemajuan yang dicapai oleh lain-lain negeri ,jika ini gagal diimbangi sudah tentu Sabah akan terus berada dalam kelompok negeri termiskin.

“Dalam pelaksanaan projek lebuhraya Pan Borneo Sabah ini, Kerajaan Negeri khususnya kementerian saya, menyokong penuh pelaksanaanya kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat khususnya dalam pembangunan sosio-ekonomi negeri Sabah.

“Begitu juga di peringkat kerajaan kita mengharapkan kerjasama sepenuhnya dari rakyat,ini disebabkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo ini pada peringkat awalnya akan melibatkan kerja-kerja pengambilan tanah bukan hanya tanah kerajaan tetapi juga tanah milik pihak syarikat dan perseorangan.

“Untuk memastikan pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini berjalan lancar, sokongan dan kerjasama daripada pemilik tanah yang terlibat amatlah diperlukan. Mereka harus memahami hasrat baik kerajaan dalam usaha membangunkan sosio ekonomi rakyat menerusi pembangunan infrastruktur jalan perhubungan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Bung berkata, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan Pusat yang dipimpin Perdana Menteri yang begitu prihatin kepada keperluan pembangunan rakyat di Sabah.

Katanya, ia khususnya dalam penyediaan infrastuktur asas seperti jalan raya dengan meluluskan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bagi zon timur melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).

“Sesungguhnya rakyat Sabah amat berterima kasih kerana Perdana Menteri masih memberi keutamaan yang tinggi kepada projek Lebuhraya Pan Borneo walaupun negara sedang melaksanakan beberapa langkah khusus bagi menghadapi cabaran ekonomi dan kewangan semasa.

“Ini jelas menunjukkan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan peka dengan keperluan rakyat di negeri Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular