HomeUtamaPembangunan Modal Insan Antara Fokus Dalam Belanjawan Sabah 2022

Pembangunan Modal Insan Antara Fokus Dalam Belanjawan Sabah 2022

Read Time:3 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang memfokuskan pembangunan modal insan membabitkan belia, dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, berkata antaranya ialah inisiatif yang melibatkan pembangunan pemerkasaan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal dan perdagangan melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Persatuan Barisan Transformasi Belia Semporna (PBTBS) yang menjadi johan bagi kategori Pertubuhan Belia yang diwakili Pengerusinya, Yusof Abdul Kassim sempena sambutan Hari Belia 2021 peringkat negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) menandatangani “Longest Nonstop Virtual Talent Broadcasting Malaysia Book of Records” sempena sambutan Hari Belia 2021 peringkat negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) di Kota Kinabalu pada Sabtu.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menambah baik dan meningkatkan keberkesanan strategi serta pendekatan dalam inisiatif yang memfokuskan pembangunan modal insan dalam kalangan belia di negeri ini.

“Kita sentiasa terbuka untuk mendengar aspirasi anak-anak muda di negeri ini. Atas faktor itu, dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember ini, kita akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang dirangka dengan berpandukan syor dan pandangan kelompok sasar melalui pelbagai platform libat urus yang telah dilaksanakan.

“Selaku Ketua Kerajaan di peringkat negeri, besar harapan saya agar golongan belia dapat bersama-sama dengan Kerajaan untuk menjayakan segala perancangan demi mancapai Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah 2021 di sini pada Sabtu.

Hajiji turut berharap cadangan pelaksanaan Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKeBS) dapat diinstitusikan sebagai salah satu program teras pembangunan modal insan dalam kalangan belia di negeri ini.

“Saya amat tertarik dengan cadangan pelaksanaan IKeBS yang dirancang bersama Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Belia Sabah. Saya berharap pelaksanaan program rintis ini dapat dipantau dengan rapi,” katanya sambil menambah kerajaan akan membantu golongan usahawan belia dan beliawanis yang terkesan secara langsung dengan pandemik COVID-19 melalui skim bantuan dana khusus.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan Program Felo Belia Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ), sebagai salah satu strategi untuk memberikan pendedahan dan membina potensi serta ketrampilan diri belia di negeri ini.

“Program ini bertujuan memberi peluang kepada belia yang terpilih melalui saringan kelayakan untuk mendapat bimbingan langsung daripada menteri dan pengurusan tertinggi kementerian serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

“Melalui program ini, Felo Belia SMJ akan ditempatkan sebagai pelatih dalam agensi kerajaan dan GLC selama setahun untuk mendapat pendedahan alam kerjaya termasuk berkaitan pengurusan sesebuah kementerian dan GLC.

“Program ini akan bermula pada bulan Januari 2022 di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan Sabah bersama Sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Majlis Belia Sabah. Saya berharap belia merebut peluang ini untuk menimba ilmu dan juga menyumbang secara langsung kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan Program Jaringan Digital Nasional (JENDELA).

“Setakat ini, sebanyak 78 menara telekomunikasi telah siap dibina dan sejumlah 510 lagi masih dalam proses pembinaan bagi meningkatkan capaian 4G di negeri ini sebanyak 90 peratus. Bagi menaiktaraf lokasi sedia ada pula, sebanyak 2,196 lokasi telah siap dinaik taraf kepada 4G daripada 3,500 lokasi yang telah dirancang.

“Bagi menaiktaraf premis kepada capaian gentian optik pula, sebanyak 103,281 premis telah siap dilaksanakan daripada 251,165 premis yang telah dirancang. Pencapaian ini dijangka akan meningkat menjelang penghujung tahun 2021 dan seterusnya pada tahun 2022,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan melaksanakan semua ini bagi memastikan rakyat khususnya golongan pelajar dan belia tidak tercicir dalam perkembangan teknologi semasa dan mendapat sepenuhnya akses kepada bahan dan sumber rujukan pendidikan.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Belia Negeri Sabah 2021, Datuk Ellron Angin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular