HomeUtamaSabah Catat 17.4 Peratus Pesakit Kanser Mulut

Sabah Catat 17.4 Peratus Pesakit Kanser Mulut

Read Time:2 Minute, 14 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kira-kira 17.4 peratus pesakit yang dikenalpasti menghidap kanser mulut.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, angka tersebut diperolehi hasil daripada saringan kanser mulut pada tahun 2020 menerusi Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, walaupun peratusan itu dilihat kecil, namun ia tidak boleh dipandang remeh oleh rakyat di negeri ini.

“Daripada 42,771 pesakit yang disaring pada tahun 2020 di Sabah, seramai 5,420 orang mempunyai tabiat berisiko tinggi kanser mulut, iaitu pengambilan tembakau, sirih dan juga pengambilan alkohol berlebihan.

“Selain itu, hanya lebih kurang 50 peratus rakyat Malaysia menyedari bahawa pengambilan alkohol dan pengunyahan sirih dapat meningkatkan risiko mereka untuk mendapat kanser mulut. Justeru amat penting untuk membuat pemeriksaan awal di klinik pergigian jika didapati ada tanda atau gejala”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Minggu Kesedaran Kanser Mulut 2021 Peringkat Negeri Sabah bertemakan #JomCheckMulut secara maya di sini, hari ini.

Minggu Kesedaran Kanser Mulut tahun ini diadakan selama seminggu mulai 7 hingga 13 November di seluruh negara.

Hajiji berkata, kajian yang dilakukan dalam kalangan rakyat Malaysia mendapati bahawa tabiat mengunyah sirih dapat meningkatkan risiko kanser mulut sebanyak enam kali ganda berbanding mereka yang tidak mengamalkan sebarang tabiat, manakala pengamalan ketiga-tiga tabiat ini sekali gus akan meningkatkan risiko mendapat kanser mulut sebanyak 22 kali ganda.

“Malangnya, kesedaran terhadap tabiat-tabiat berisiko ini adalah amat rendah”, tambahnya.

Katanya, di Malaysia, didapati kebanyakan kes kanser mulut dikesan di peringkat yang lewat, dengan lebih daripada 60 peratus dikesan pada advanced stages atau peringkat lanjut, stage III (tiga) dan IV (empat).

Menurutnya, antara faktor penyumbang utama untuk pengesanan lewat adalah kurangnya kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan dan pengesanan awal dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, walaupun kanser mulut memberi impak yang amat teruk kepada pesakit, namun hakikatnya kanser mulut boleh dicegah.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar lebih banyak kempen diadakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Saya juga berharap aktiviti turun padang untuk membuat saringan awal pengesanan kanser mulut dan kempen kesedaran ini akan diperluaskan hingga ke pedalaman negeri ini”,tambahnya.

Menyentuh Minggu Kesedaran Kanser Mulut 2021, Hajiji berkata kempen itu bukan sahaja dilaksanakan di semua klinik pergigian kerajaan di seluruh negeri, malah turut membabitkan penyertaan klinik pergigian swasta dan universiti.

“Kerajaan negeri amat menghargai usaha dibuat Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kesedaran kanser mulut dalam kalangan rakyat.

“Marilah kita bersama-sama mengambil cakna mengenai penyakit kanser mulut in dengan mendapatkan saringan awal serta mengelakkan faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian penyakit ini.

“Usaha dan inisiatif untuk membantu serta menyokong pesakit dalam perjalanan untuk melawan kanser mulut juga harus dipertingkatkan agar mereka dan keluarga dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera selepas mendapat diagnosa kanser”, tambahnya.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular