Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah (RDA) akan ditubuhkan untuk menguruskan perbandaran sempadan baharu di Serudong, Kalabakan yang akan menjadi salah satu daripada empat pintu masuk dari Kalimantan, Indonesia ke Sabah.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, cadangan penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Serudong, Sabah Maju Jaya akan dibentangkan semasa Bajet 2022 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Disember.
Hajiji turut menyifatkan RDA sebagai pemangkin pertumbuhan di Serudong, bahawa Kerajaan Negeri komited untuk memastikan perbandaran sempadan akan dibangunkan seperti yang dirancang, dalam jangkaan pembangunan utama yang akan berlaku dengan rancangan Indonesia untuk memindahkan ibu kotanya ke Timur Kalimantan.
Perbandaran sempadan akan merangkumi zon perindustrian dan komersial, perumahan dan lain-lain kemudahan yang akan dibangunkan di sekitar pusat Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).
Pembangunan pusat CIQS di sempadan Malaysia – Indonesia di Borneo akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 September lalu.
Hajiji berkata pembangunan sempadan Sabah – Kalimantan akan menjadi antara perkara yang diperkatakan apabila Perdana Menteri bertemu dengan Presiden Indonesia Joko Widodo semasa lawatannya yang akan datang ke republik itu.
Antara pintu masuk selain Serudong ialah di Long Pasia, Pagalungan dan Sebatik.
Dalam pada itu, Ketua Menteri dan ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah diberi taklimat mengenai rancangan konsep sempadan Serudong (Malaysia) – Simanggaris (Indonesia) di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Pengarah Perancangan Bandar Sempadan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), TPr Mursidi Sapie berkata, antara fungsi RDA adalah bertindak sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta menyelia pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Sulai dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Hashim Paijan.