COVID-19 : Sabah Rekod Trend Peningkatan Kes Jangkitan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU : Sabah meneruskan trend peningkatan kes jangkitan COVID-19 dengan mencatat penambahan sebanyak 28 kes hari ini menjadikan kes harian sebanyak 573 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peningkatan kes yang agak tinggi berlaku dibeberapa daerah termasuk Kota Kinabalu yang naik sebanyak 32 kes menjadikan jumlah 85 kes hari ini.

Katanya, kes melalui saringan bergejala adalah tinggi iaitu sebanyak 34 kes berbanding 38 kes kontak rapat.

“Terdapat 10 kes yang melibatkan  Orang Kena Tahan (OKT) (tahanan/penjara) dan tiga lagi melalui lain-lain saringan.

“Daerah lain yang mencatatkan peningkatan agak besar ialah Tuaran +29 kes, Putatan +20 kes, Papar +19 kes, Kuala Penyu +12 kes dan Sandakan +11 kes.

“Manakala daerah yang mencatatkan penurunan signifikan  ialah Tawau -20 kes, Kota Marudu -17 kes, Sipitang -15 kes dan Ranau -13 kes,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, 13 daerah mencatatkan peningkatan kes, 12 daerah mencatatkan penurunan kes, dua daerah kekal sebagaimana catatan semalam.

Katanya, sebanyak 23 daerah mencatatkan kes dibawah paras 40 kes dan empat daerah mencatatkan kes di atas paras 40 kes.

“Kes berpunca daripada Saringan Bergejala yang sinonim dengan kes-kes sporadik adalah tinggi, dan hari ini 239 kes atau 41.7 peratus.

“Malah ada daerah yang mencatatkan jumlah kes dalam kategori ini melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di daerah berkenaan dan kes-kes ini sering dikaitkan dengan kegagalan atau kealpaan mematuhi prosedur standard operasi (SOP),”katanya.

Katanya, analisis jumlah kes yang dicatat hari ini menununjukkan sebanyak 344 kes atau 60 peratus adalah kes-kes yang berlaku dan didaftarkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Selebihnya iaitu 39.8 peratus lagi merupakan kes yang didaftarkan antara dua hingga lima  hari setelah keputusan ujian saringan diperoleh dan hanya satu kes pada hari ini didaftar lewat melebihi lima hari,”katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, jumlah pesakit dalam kategori serius yang memerlukan rawatan di hospital kekal rendah.

Katanya, pada hari ini cuma ada empat pesakit dalam Kategori 3, enam pesakit dalam Kategori 4 dan dua pesakit dalam Kategori 5.

“Sejumlah 557 kes atau 97.2 peratus daripada 573 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 (71) dan Kategori 2 (486). JKNS masih membuat siasatan lanjut ke atas 4 kes,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *