LAPORAN KHAS – Semangat Keluarga Malaysia Menentang COVID-19 (Siri 1)

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:5 Minute, 13 Second

Kerjasama erat di antara jabatan serta agensi negeri dan persekutuan termasuk Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah  melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 (COVID-19) Sabah berjaya melonjakkan kadar vaksinasi negeri ini kepada lebih 87 peratus. Lebih melegakan rakyat, Sabah kini melangkah ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 8 November lalu.

DATA PENCAPAIAN PICK SABAH

Menurut Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, data pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Negeri Sabah sehingga 8 November 2021 merekodkan seramai 2,100,448 (76.15%) individu dewasa telah menerima dos 1 vaksin dan 2,069,122 (70.1%) telah lengkap dua dos vaksin daripada 2,431,254 populasi dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Masidi jurucakap COVID-19 Negeri Sabah.

Bagi individu remaja pula, seramai 330,806 orang (76.22%) telah menerima satu dos vaksin, manakala remaja yang telah lengkap dos vaksin adalah seramai 294,996  orang (67.97%).

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) memaklumkan bagi meningkatkan bilangan penerima sekali gus mendapatkan herd immunity, Kerajaan Negeri Sabah menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 (COVID-19) Negeri Sabah yang mengambil pelbagai inisiatif termasuk mengadakan program-program outreach di kawasan-kawasan pedalaman.

PENGLIBATAN JAPEN SABAH

“JAPEN Sabah diberi tanggungjawab mengetuai Unit Sokongan Utama dalam Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang berperanan menyedarkan masyarakat berkaitan keperluan pengambilan vaksin, di samping mendidik dan melahirkan kesedaran umum untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam komuniti sejak Februari 2021,” ujar Masidi.

Unit Bergerak JAPEN Sabah ketika membuat hebahan di PPV Dewan Masyarakat Kunak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan II menyatakan selain CITF, jabatan itu juga menganggotai COVID-19 Sabah yang berperanan mengumpul dan menyusun data harian Covid-19 dalam bentuk kenyataan media sejak dua tahun lalu bersama kementeriannya.

KOLABORASI…Team Kenyataan Media Harian Covid-19 JAPEN Sabah berkolaborasi dengan KKTP Sabah.

PENCAPAIAN SEBENAR VAKSINASI SABAH

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang juga Exco Kesihatan memaklumkan Sabah sudah melengkapkan lebih 82% vaksinasi dan angka itu telah disahkan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan (MKN), baru-baru ini.

“Rekod Bantuan Prihatin Sabah melalui Rumah Sabah mencatatkan seramai 171,000 penerima. Ini bermakna, 171,000 orang Sabah yang tinggal serta bekerja di Semenanjung telah mengambil vaksin dan tidak dikira dalam jumlah statistik di Sabah.

Shahelmey ketika ditemui di pejabatnya.

“Juga termasuk dalam unjuran statistik ialah golongan bukan warganegara yang berkemungkinan sudah balik ke negara asal sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran tiada pekerjaan di sini.

“Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun telah memaklumkan kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaludin dan beliau telah bersetuju peratusan vaksinasi penduduk Sabah perlu diselaraskan dan disahkan melebihi 82% vaksinasi,” katanya lagi.

Beliau yang dilantik sebagai Pengarah Operasi Program Imunisasi Sabah pada September lalu mendedahkan sehingga hari ini, Sabah telah terima vaksin 6,484,110 dos sejak Februari yang merangkumi empat jenis iaitu PfizerSinovacCansino dan Astra Zaneca.   

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa menyatakan hebahan melalui unit bergerak jabatan itu turut memikul peranan bersama-sama Kerajaan Negeri Sabah untuk mempromosi dos penggalak vaksin Covid-19 keluaran Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnarty) sebagai perlindungan optimum jangkitan Covid-19 kepada masyarakat.

Harun komited mengetuai program outreach di seluruh daerah.

TAKUT DIVAKSIN

Pada Oktober lalu, tinjauan di SK Terusan, Pulau Bum-Bum, Semporna menemukan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Semporna, Jipri Karomo yang juga Pegawai Lapangan program CITF Semporna bersama 19 petugas dari KKM yang diketuai Dr. Ti Jian Lim. Sebanyak 1,100 dos vaksin (800 dos Cansino dan 300 dos  Pfizer) dibawa ke SK Terusan dengan menyasarkan individu yang tercicir akibat kurang maklumat ataupun masih merasa ragu.

Dr. Ti Jian Lim (tengah) bersama Jipri (kanan) dan pasukannya di SK Terusan Bum-Bum, Semporna.

Suri rumah, Hunaida Toran, 46, yang menerima vaksin tunggal Cansino memaklumkan alasan lambat mendapatkan vaksin ialah dibelenggu perasaan takut ekoran kesan sampingan penerima vaksin sebelum ini.

Manakala rakannya, Aisah Ondok, 44, bekerja sendiri memberitahu, statusnya yang bukan warganegara adalah penyebab beliau takut untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Di Nabawan, ibu yang baru melahirkan anak, Suhana Anding, 21, diberi suntikan jenis Sinovac memberitahu sebab lewat vaksin ialah kerana takut kesan sampingan vaksin  terhadap bayinya melalui penyusuan.

SINOVAC…Suhana (kiri) menerima vaksin Sinovac di Nabawan.

Berbeza dengan penjawat awam yang lebih mesra dipanggil Pak Long, 43, yang trauma dengan alahan (alergi) ubat. Dia pernah dimasukkan ke wad rawatan rapi akibat pengambilan vaksin sebelum menunaikan umrah di Tanah Suci, lima tahun lalu.Oleh yang demikian, laporan perubatan telah dikemukakan beliau kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menjelaskan isu yang tidak dapat dielakkan itu.

LEWAT MENGAMBIL VAKSIN

Tinjuan di Daerah Kecil Pegalungan menemui warga emas, Angkibot Isawan, 61, yang mendapatkan vaksin tunggal jenis Cansino. Mengakui dirinya lewat mendapatkan vaksin kerana masalah kesihatan, selain tinggal jauh di kawasan pedalaman.

CANSINO…Warga emas paling senior, Maholing disuntik vaksin Cansino di Daerah Kecil Pegalungan.

Rakannya, Maholing Marus, 86, yang ditemani cucunya juga diberi vaksin jenis Cansino. Kelewatan mendapatkan vaksin bukanlah perkara yang disengajakan, dia memerlukan seseorang untuk membantu memapahnya berjalan dan menaiki bot untuk sampai ke PPV di SK Babalitan.

TERUJA DIVAKSIN

Suasana agak meriah di Dewan Gereja Kg Ovai Papar dengan kehadiran golongan berumur 18 tahun ke bawah. Antaranya, pelajar Tahun 6, Wellny Donny, 12, dan Mohammad Haikal Abdullah,12, teruja diberi vaksin jenis Pfizer setelah melihat semua ahli keluarga mereka tidak mengalami sebarang masalah kesihatan setelah divaksin.

Berkongsi perasaan yang sama, pelajar SMK Sim-Sim Sandakan, Queenie Josephine Karolas, 14, kelihatan tenang kerana proses suntikan dilakukan sendiri oleh ibu, Jerhinya Dian di PPV Dewan masyarakat Sandakan.

PFIZER…Queenie ketika disuntik vaksin Pfizer oleh ibunya di PPV Sandakan.

Di Kunak pula, Arsi Marpati, 15, ditemani ibunya mendapatkan suntikan vaksin Pfizer untuk remaja kerana menyedari kepentingan vaksin melawan Covid-19.

Kesimpulannya, berita tidak sahih mampu ditangani menerusi komunikasi berkesan. Justeru, pendekatan turun padang, vaksinasi dari rumah ke rumah serta sebaran maklumat tepat dalam talian yang dilaksanakan oleh agensi dan jabatan negeri dan persekutuan atas nama Keluarga Malaysia berjaya merancakkan vaksinasi di Sabah./Penerangan- 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *