KOTA KINABALU: Pelaksanaan Program Local Agenda 21 (LA21) i-Fit Pulau Gaya 2026 berupaya meningkatkan kesedaran masyarakat setempat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar, kesihatan serta kesejahteraan komuniti.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pendekatan program itu memberi penekanan kepada penglibatan aktif komuniti dalam usaha membentuk persekitaran yang lebih bersih, selamat dan mampan.

Beliau berkata, program berkenaan dirangka bukan sahaja untuk menghimpunkan masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan, malah bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara penduduk, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan.
“Melalui program seperti ini, kita dapat mendekati masyarakat secara lebih dekat dan memahami perkara yang perlu diberi perhatian bagi membantu meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program LA21 i-Fit Pulau Gaya 2026 di Balai Raya Kampung Torong-Logong, Pulau Gaya di sini pada Rabu.
Program itu dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Turut terlibat dalam program berkenaan ialah pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak polis, sekolah, pemimpin komuniti serta penduduk setempat.
Dr Sabin berkata, konsep i-Fit yang diterapkan dalam program itu bertepatan dengan keperluan semasa dalam membangunkan komuniti yang lebih berdaya tahan.
Katanya, elemen ‘Inclusive, Innovative, Informative, Immunity dan Integrative’ menjadi asas dalam memastikan masyarakat bukan sahaja menerima manfaat program, malah turut memainkan peranan dalam pembangunan kawasan mereka.

“Pembangunan komuniti tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan. Penglibatan masyarakat amat penting supaya perubahan yang dilakukan dapat dikekalkan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang program termasuk aktiviti kebersihan kawasan, plogging, penanaman pokok, senamrobik, saringan kesihatan serta sesi kesedaran berkaitan alam sekitar dan keselamatan.
Katanya, pendekatan tersebut mampu membentuk budaya hidup sihat dalam kalangan penduduk selain meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap persekitaran.

Dalam pada itu, beliau berkata Pulau Gaya mempunyai keunikan tersendiri sebagai kawasan yang mempunyai nilai alam semula jadi serta kehidupan komuniti yang menjadi tarikan kepada pelancong.
Bagaimanapun katanya, aspek kebersihan perlu sentiasa diberi perhatian bagi memastikan kawasan berkenaan terus menarik dan selesa untuk dikunjungi.
“Pelancong yang datang akan melihat bukan sahaja keindahan sesuatu tempat, tetapi juga keadaan persekitaran. Sebab itu kebersihan dan kesihatan awam perlu menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan DBKK akan meneruskan usaha bersama komuniti termasuk mempertingkatkan pengurusan sisa pepejal serta menggalakkan penduduk mengambil bahagian dalam menjaga kebersihan kawasan.
Menurut beliau, kerjasama antara kerajaan dan komuniti mampu membantu memastikan Pulau Gaya berkembang secara seimbang tanpa menjejaskan alam sekitar.
“Apabila masyarakat sendiri terlibat menjaga kawasan mereka, kita bukan sahaja dapat mewujudkan persekitaran yang bersih, tetapi turut membina komuniti yang lebih prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.
Seramai kira-kira 350 peserta menyertai Program LA21 i-Fit Pulau Gaya 2026 yang melibatkan murid sekolah, belia, penduduk setempat serta wakil pelbagai agensi.



