Fokus & Patuh Arahan, Kunci Kejayaan Sabah FC – Kim Swee

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Pemain Sabah FC yang terus fokus sepanjang perlawanan menentang PJ City dalam aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia 2021 di Stadium Likas malam tadi berjaya membuahkan hasil.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, langkah terbaik yang dilakukan anak buahnya yang patuh kepada arahan turut menjadi kejayaan apabila berjaya mempertahankan gol tunggal sehingga tamat perlawanan.

Perlawanan yang berkesudahan 1 – 0 itu berjaya melayakkan skuad Sang Badak memasuki suku akhir Piala Malaysia 2021 menentang Melaka United FC dengan pusingan pertama perlawanan berlangsung di Stadium Likas pada 14 November ini.

Kim Swee berkata, pemain yang terus fokus dan mematuhi arahan juga menjadi benteng bagi menghalang kemaraan PJ City khususnya pada babak kedua perlawanan.

Katanya, apa yang lebih penting kesemua pemain Sabah FC dapat mempertahankan kedudukan mendahului permainan dengan 1 – 0 pada separuh masa pertama hingga ke minit akhir perlawanan.

“Pemain kita bermain mengikut arahan dan paling penting berusaha hingga minit terakhir untuk mempertahankan gol yang kita perolehi pada separuh masa pertama dan ini bukan mudah.

“Kita tahu dan kita menjangkakan PJ City banyak memberi tekanan khususnya pada separuh masa kedua tetapi kita berjaya mengawal keadaan dengan begitu baik,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan Sabah FC menentang PJ City FC, malam tadi.

Katanya, beliau tidak melakukan sebarang perubahan taktikal pada babak kedua bagi menghadapi asakan PJ City meskipun sedar terpaksa berdepan serangan lebih agresif daripada pasukan pelawat itu.

“Seperti saya katakan pemain bermain mengikut arahan, itu yang penting kerana kita sudah menjangkakan sebelum permainan bermula lagi PJ City pasti bertindak lebih agresif.

“Walaupun kita mendahului, kita tahu akan menerima asakan demi asakan tetapi yang paling penting kita kekal fokus ketika diserang dan ini menjadi kelebihan kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee berkata, pasukannya akan memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri untuk menguasai permainan dan mencipta kemenangan bagi menghadapi Melaka United pada pusingan suku akhir.

Katanya, perlawanan malam tadi menyaksikan Sabah FC berjaya mencipta beberapa peluang baik untuk menambah jaringan namun gagal diterjemahkan kepada gol.

“Jadi, kita mesti manfaatkan peluang seperti ini apabila bertemu Melaka United nanti, selain kelebihan bermain di tempat sendiri,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *